KLANG: Penduduk kawasan perumahan Fasa 1 dan 2 Bandar Bukit Raja di sini yang sudah tidak tahan akibat dilanda banjir besar dan banjir kilat, menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mencari jalan penyelesaian konkrit.
Menurut Presiden Permuafakatan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja Klang Selangor,Mohd. Zulkifli Othman, banjir paling besar yang melanda kawasan perumahan tersebut adalah pada tahun 2021 diikuti siri banjir kilat yang kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Banjir besar yang berlaku pada tahun 2021 hingga kini menjejaskan kehidupan seharian 5,000 penduduk disebabkan air banjir yang naik setiap kali hujan lebat menutup jalan masuk ke kawasan perumahan.
“Kawasan perumahan yang selalu terlibat adalah di Jalan Makyong yang mana air memasuki dapur dan ruang tamu setinggi 0.3 meter. Penduduk mengalami kerugian ribuan ringgit apabila perabot dan barangan elektrik ditenggelami air setiap kali banjir berlaku,”katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di pejabat Menteri Besar Selangor di sini hari ini.
Mohd.Zulkifli berkata, pihaknya berharap Kerajaan Negeri Selangor segera berbincang dengan agensi-agensi terlibat, seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) untuk mencari kaedah terbaik untuk mencari peruntukan menaiktaraf ban sepanjang sungai terlibat.
“Pemaju masih membangunkan Fasa 3 dan Fasa 4 yang melibatkan kawasan industri dan lain-lain. Ia sebenarnya memberi kesan kepada kawasan perumahan yang berada di Fasa 1 dan Fasa 2 apabila hujan lebat turun.
“Kita tidak mahu lagu Bangau Oh Bangau kembali kedengaran apabila pemaju dan PBT saling menuding jari mencari kesalahan. Sebaiknya limpahan air Sungai Puloh dan Sungai Kapar Kecil dicari jalan untuk dibendung dengan segera menaiktaraf ban atau tebatan banjir,”ujarnya. – UTUSAN










