PUTRAJAYA: Selepas lima tahun mengagihkan susu tepung percuma kepada keluarga memerlukan di Semenanjung Malaysia, ‘Abang Susu’ akan memperluaskan misinya itu di Sabah dan Sarawak pula.
Abang Susu atau nama sebenarnya, Klaus Lim, 36, berkata, sejak lima tahun lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya iaitu WellSpring Buildtrip Sdn. Bhd. berjaya mengagihkan susu tepung percuma kepada 10,000 bayi memerlukan.
Menurutnya, beliau merancang meneruskan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) itu di Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain dengan sasaran 10,000 lagi bayi yang memerlukan sepanjang tahun ini.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa NGO lain termasuk Pertubuhan Kebajikan Sinar Harapan dan ia tidak hanya tertumpu kepada sumbangan susu tepung semata-mata, sebaliknya bertujuan mewujudkan sikap prihatin dan kasih sayang dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pada masa sama, kami juga menyalurkan bantuan susu tepung kepada bayi di Thailand dan Kemboja selain bantuan lain kepada rakyat Malaysia yang tidak berkemampuan disebabkan pelbagai penyakit kritikal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, inisiatif ini dimulakannya sejak pandemik Covid-19 dan idea itu tercetus selepas melihat ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan serta berdepan kesusahan bagi menyara kehidupan keluarga.
Lim berkata, beliau tidak bersendirian sebaliknya dibantu oleh 20 sukarelawan daripada pelbagai NGO bagi melancarkan agihan susu tepung itu di seluruh negara.
Inisiatif dicetuskan oleh Lim itu tidak sia-sia apabila beliau pernah diiktiraf sebagai ‘Best Intelligent Figure 2023’ oleh Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTN) dan Anugerah Bantuan Susu Tepung Terbanyak daripada Malaysia Book of Records (MBOR) pada Februari lalu. – UTUSAN










