SHAH ALAM: Rayuan keputusan lepas dan bebas penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman ditetapkan pengurusan kesnya di Mahkamah Tinggi pada 11 Jun depan.
Penolong Kanan Pendaftar, Nadia Othman berkata, penetapan tarikh hampir tiga minggu itu membolehkan Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Muhammad Yasin, 49, bagi meneliti rekod rayuan kes yang telah diberikan kepadanya.
“Kalau ikut status hari ini adalah bagi lantikan peguam. Saya emelkan rekod rayuan kepada peguam bela. Jadi tarikh pengurusan kes ditetapkan 11 Jun depan,” katanya.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kassim mewakili pihak pendakwaan sebagai perayu terhadap permohonan tersebut.
Sementara itu, Yasin ketika ditemui selepas prosidingnya memberitahu bersetuju melantik semula Ariff Azami yang sebelum merupakan peguamnya ketika pendakwaan dilakukan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.
“Sebenarnya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sudah selesai. Cuma dibawa ke Mahkamah Tinggi, saya ikut prosedur dan datanglah. Saya harap kes di sini berjalan dengan lancar dan pantas supaya semua berakhir dengan cepat.
“Lagipun sekarang saya sedang menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (Perak). Itu pun sudah enam bulan dan makan ubat semua serta ikut segala program di hospital itu,” ujarnya.
Terdahulu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).
Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pelantun lagu Mimpi Laila itu juga didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.
Utusan Malaysia pada November tahun lalu melaporkan Yasin dilepas dan dibebaskan, namun diarah menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Dalam pada itu, Yasin memaklumkan beliau kini semakin sihat apabila menjalani rawatan di hospital berkenaan dan mengikuti kesemua jadualnya sejak berada di sana enam bulan lalu.
“Alhamdulillah, kalau dekat penjara dulu sakit. Sekarang duduk di hospital sihat. Ubat, makan dan tidur cukup,” ujarnya kanabis
Mengulas mengenai perkembangan buku perjalanan hidupnya yang diberikan judul ‘Dari Pentas Juara ke Penjara’, Yasin memaklumkan sedang menyiapkannya.
“Buku itu siap dan saya tengah taip. Insya-Allah bila saya keluar nanti, baharu akan diterbitkan,” katanya. – UTUSAN










