Tarik subsidi diesel dilaksana tahun ini, tarikh belum ditetap

Tarik subsidi diesel dilaksana tahun ini, tarikh belum ditetap

ARMIZAN Mohd. Ali (dua dari kanan) bersama wakil syarikat pengangkutan yang menerima kad fleet Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Lebuh raya Grand Sepadu di Klang, Selangor, semaalam. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pe­nyasaran subsidi diesel akan di­laksanakan tahun ini, cuma tarikhnya masih belum dimuktamadkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, ­Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, terdapat beberapa perkara seperti sasaran penerima layak yang perlu diperkemas dan di­perkukuhkan.

Beliau berkata, tarikhnya hanya akan ditetapkan selepas Jemaah Menteri berpuas hati dengan perincian semua mekanisme pelaksanaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

BERSEDIA

“Penyasaran semula diesel itu turut melibatkan kementerian-kementerian lain dan apabila pengumuman dibuat kerajaan nanti, semua pihak hendaklah sudah bersedia untuk melaksanakannya,” katanya selepas sesi penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2, di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Negara pada Selasa lalu mengumumkan kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar diesel bagi Semenanjung Malaysia dengan jangkaan penjimatan berjumlah RM4 bilion.

Armizan berkata, antara mekanisme yang perlu dipastikan sudah bersedia termasuk penyelarasan harga bahan api itu di semua stesen minyak dan bantuan sosial kepada golongan sasar yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap diesel.

Mengenai SKDS 2.0, beliau berkata, ia bukan satu sistem baharu kerana ia sudah dilaksanakan sejak 2013 tetapi kerajaan perlu memperkemas sistem itu dengan perluasan kepada jenis kenderaan sektor pengangkutan darat.

Katanya, sebanyak 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dalam SKDS 2.0 setakat ini yang meliputi 90,000 kad fleet oleh lima syarikat mi­nyak utama.

Justeru, beliau menasihatkan syarikat terlibat supaya segera membuat permohonan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi diumumkan kerajaan.

NAIK HARGA

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementeriannya bersedia memperketatkan tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang sengaja menaikkan harga barangan selepas pelaksanaan subsidi bersasar bahan api kelak.

“Kementerian sudah mempunyai mekanisme atau pendekatan terbaik bagi menangani perkara itu kelak. Itu sebabnya kerajaan tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan subsidi bersasar itu,’’ katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, setakat ini, Jemaah Menteri belum mene­rima apa-apa maklumat mengenai isu subsidi bersasar yang melibatkan diesel.

Kata beliau, pengumuman tarikh hanya akan dibuat selepas semua mekanisme sudah bersedia dan rakyat juga sudah diberikan penerangan lengkap tentang pelaksanaannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini