Guna bahan binaan tidak berkualiti kesalahan sering dilakukan kontraktor - Utusan Malaysia

Guna bahan binaan tidak berkualiti kesalahan sering dilakukan kontraktor

AMINUDDIN Harun (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Mohd. Zaid (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan NS, Norazhar Musa (kanan) majlis pertukaran MoU antara kedua-dua pihak di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penggunaan bahan binaan yang tidak mematuhi kualiti yang ditetapkan menjadi kesalahan yang sering dikesan dilakukan pihak kontraktor di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Mohd. Zaid Zakaria berkata, dalam setiap serbuan dan operasi yang dijalankan pihaknya di tapak projek pembinaan, bahan binaan yang tidak mempunyai Perakuan Pematuhan Standard (PPS) itu antaranya adalah penggunaan besi perancah (A-Frame).

“Banyak kontraktor yang masih menggunakan perancah jenis A-Frame untuk menampung beban, itu kami tidak benarkan. Perancah sebegitu hanya boleh digunakan untuk tujuan akses dalam bangunan seperti untuk tujuan mengecat tetapi tidak untuk tujuan menampung beban.

“Ia memang murah tetapi bagaimana jika berlaku kemalangan malah melibatkan nyawa? Statistik kemalangan (di tapak pembinaan) yang melibatkan perancah ini juga adalah tinggi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan NS dan CIDB di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd. Zaid dalam pada itu, tidak menolak penggunaan bahan binaan tidak berkualiti itu adalah tindakan pihak kontraktor terlibat untuk cuba mendapatkan keuntungan lebih berbanding menggunakan bahan yang telah diperakukan.

“Ya kita bersetuju bahan berkualiti ini sedikit mahal tetapi kalau semua menggunakan bahan berkualiti ia akan berbalik kepada permintaan dan penawaran, harga yang sedikit mahal itu akan turun dan bahan tidak berkualiti itu tidak berada lagi dalam industri,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga 30 April lalu, sebanyak 94 pemeriksaan tapak bina telah dijalankan oleh pihak CIDB Negeri Sembilan di negeri ini dan sebanyak 148 pelbagai notis telah dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa.

Menurutnya, notis itu dikeluarkan kepada kontraktor, pengeluar, pengilang, pemaju, pemilik premis/rumah dan syarikat-syarikat.

“Daripada segi tindakan kompaun, sebanyak 36 kertas siasatan telah dibuka yang mana tujuh adalah di bawah kesalahan tidak mempunyai PPS yang sah.

“Sehingga Mei lalu juga, CIDB telah mengambil tindakan terhadap 217 kontraktor yang terlibat di dalam projek pembinaan di sekitar negeri ini melibatkan tindakan tatatertib, penalti, kompaun dan mahkamah,” katanya lagi.

Mohd. Zaid sementara itu berkata, MoU yang telah ditandatangani antara pihaknya dan Perbadanan NS itu adalah sebahagian inisiatif pihaknya untuk meningkatkan pemahaman serta penyampaian maklumat kepada agensi dan syarikat pelaksana projek mengenai keperluan dalam pematuhan Akta 520.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×