SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, hari ini menolak pengakuan salah P. Ramasamy yang dikenakan penjara selama sebulan dan denda RM3,000 kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 6 Mei lalu.
Ini kerana, pengakuan yang dibuat tertuduh di Mahkamah Majistret terdahulu disifatkan sebagai bersyarat berikutan warga emas itu dikatakan tidak memahami pertuduhan yang dibacakan ke atasnya serta kesan dan akibat pengakuan salah yang dilakukan.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Wendy Ooi Su Ghee, memutuskan demikian selepas meneliti hujahan daripada pemohon yang diwakili peguamnya, Pavitra Loganathan dan Harsimranpreet Kaur yang memfailkan semakan kehakiman bagi keputusan terhadap Ramasamy, 66.
“Pengakuan salah oleh pemohon seperti di buat di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu tempoh hari adalah pengakuan bersyarat kerana dia tidak faham pertuduhan, kesan dan akibat pengakuan salahnya.
“Perkara itu dapat dilihat menerusi mitigasi pemohon dalam prosiding berkenaan yang menyebut ‘tidak mengetahui penggunaan gambar Seri Paduka sebagai satu kesalahan’. Disebabkan itu, kes diremit (dikembalikan semula) ke Mahkamah Majistret untuk dibicara,” katanya.
Sementara itu, Pavitra ketika ditemui selepas prosiding tersebut memberitahu, antara hujahan yang difailkan adalah berkaitan elemen niat dalam mitigasi anak guamnya pada Mahkamah Majistret sebelum ini tidak dipenuhi.
“Ini bermaksud Ramasamy tidak mengaku bersalah sepenuhnya kerana dalam mitigasinya dia mengatakan tidak berniat. Jadi, elemen niat itu tidak dipenuhi kerana dia kata tidak ada niat (menyalahgunakan gambar Yang di-Pertuan Agong),” katanya.
Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd. Ali mewakili pihak Pendakwa Raya sebagai responden bagi permohonan semakan tersebut. Sementara Ramasamy hanya diwakili peguamnya kerana menjalani hukuman penjara.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu dilapor menerima pengakuan salah Ramasamy yang menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti politik dalam kawasan pilihan raya.
Dia dituduh mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).
Kesalahan tersebut dilakukan lelaki lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu, dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.
Tindakan Ramasamy itu dikatakan sebagai cubaan mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada PH.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










