Hanya Anwar berani betulkan kesilapan sebelum ini

Hanya Anwar berani betulkan kesilapan sebelum ini

NGA Kor Ming (tengah) bersama murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dalam Parlimen Teluk Intan yang menerima bantuan kewangan di Teluk Intan, semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan Perdana Menteri semalam sangat penting untuk dilaksanakan bagi membetulkan kesilapan sebelum ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan dahulu membelanjakan hampir RM80 bilion setiap tahun untuk subsidi diesel tetapi warga asing yang berjumlah 3.5 juta orang dan tidak membayar cukai turut menikmatinya.

Beliau berkata, selain itu, setiap hari lebih tiga juta liter diesel subsidi diseludup keluar oleh sindiket-sindiket menyebabkan negara menanggung kerugian lebih RM2 bilion setahun.

“RM2 bilion bermaksud Belanjawan dua tahun negeri Perak masuk dalam longkang, masuk dalam poket sindiket. Jika kita tak buat subsidi bersasar maka ketirisan ini akan terus berlaku malah semakin hari semakin serius.

“Apabila kita sasarkan penjimatan RM4 bilion setahun da­ripada penyasaran subsidi diesel ini, duit itu kerajaan akan pakai untuk berikan bantuan kepada rakyat dan membina kemudahan asas untuk me­ningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dalam Parlimen Teluk Intan di sini semalam.

Kor Ming berkata, adalah penting reformasi penyasaran subsidi diesel itu disokong oleh rakyat.

Beliau berkata, kerajaan boleh berpura-pura tidak nampak ketirisan yang berlaku tetapi kerajaan hari ini mahu mengambil sikap penuh tanggungjawab untuk menjamin kelangsungan masa depan negara.

Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, pelaksanaan pe­nyasaran subsidi diesel tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan kerajaan sudah membuat perkiraan risiko mengenainya termasuk tidak melibatkan Sabah dan Sawarak.

“Di Semenanjung, hanya lima hingga 10 peratus sahaja yang menggunakan kereta diesel dan bantuan tetap diberikan kepada pemilik-pemilik kenderaan diesel, mereka akan menerima elaun setiap bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×