Cuti sekolah: Tiket feri ke Langkawi laris

Cuti sekolah: Tiket feri ke Langkawi laris

TEMPAHAN feri dan penginapan mula diterima pengusaha pelancongan sempena cuti sekolah di Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Tempahan tiket feri ke Pulau Langkawi dijangka meningkat pada minggu hadapan apabila cuti sekolah penggal pertama bermula hujung minggu ini.

Penolong Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Norhafiz Abdul Wahid berkata, buat masa ini lima buah feri yang dijadualkan berlayar ke Langkawi pada Sabtu ini sudah penuh ditempah penumpang.

Jelasnya, sebuah feri tersebut adalah daripada Kuala Kedah manakala empat lagi dari Kuala Perlis, dekat sini.

“Lebih 2,500 penumpang sudah menempah tiket feri untuk masuk ke Langkawi pada 25 Mei ini dan kita jangkakan angka itu terus meningkat mulai minggu depan.

“Setakat ini, kami masih mengekalkan lima kali perjalanan sehari bagi setiap laluan Langkawi-Kuala Perlis dan Langkawi-Kuala Kedah serta sebaliknya dan akan menambah sehingga 10 perjalanan sehari sekiranya ada permintaan daripada penumpang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun ujar Norhafiz, penambahan itu tertakluk kepada tempahan pelanggan yang perlu dibuat awal bagi membolehkan pihaknya dapat menjangkakan jumlah feri yang perlu ditambah setiap hari.

Sementara itu, seorang pengusaha kereta sewa, Muhammad Amirul Amar, 36, berkata, kesemua kereta sewanya habis ditempah oleh pelanggan untuk cuti sekolah ming­gu depan.

“Kebanyakan mereka adalah pelanggan tetap saya dan mereka akan menempah kereta sebulan lebih awal sebelum datang bercuti ke Langkawi,” ujarnya.

Ejen pelancongan, Yasmiza Yum, 42, pula berkata, dia menerima banyak tempahan daripada pelancong antarabangsa pada minggu depan.

“Setakat ini, semua pelanggan yang menempah pakej penginapan adalah pelancong luar negara seperti dari Jerman, Singapura dan United Kingdom,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×