Trisha Ooi sanggup seksi demi watak? - Utusan Malaysia

Trisha Ooi sanggup seksi demi watak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Trisha Ooi, tidak menolak berpenampilan seksi sekiranya perkara itu diperlukan untuk menghidupkan watak yang dilakonkannya.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi bagaimanapun menegaskan masih berhati-hati agar penampilan tersebut tidak keterlaluan dan melampau batas.

“Saya hanya ikut tuntutan watak. Kalau watak yang dilakonkan memerlukan saya berkemban atau sebagainya, saya terpaksa akur. Tetapi saya masih melihat kepada logik dan kesesuaian.

“Saya juga pernah berunding dengan pengarah supaya mencari jalan lain sekiranya penampilan yang dituntut bagi watak terbabit melebihi batas agama,” jelasnya yang ditemui, baru-baru ini.

Trisha juga memaklumkan, untuk mendalami sesebuah karakter itu bukan tertumpu kepada cara watak itu dibawa semata-mata. 

Malah katanya, penampilan diri juga penting untuk menghidupkan lagi karakter yang dibawakan.

“Saya warna rambut untuk karakter yang akan saya bawa dalam drama yang bakal ditayangkan Julai depan.

“Kalau perlu saya botakkan atau pendekkan rambut pun saya sanggup. Tetapi untuk berpakaian seksi, mungkin saya akan fikirkan lebih dahulu,” jelasnya.

Ditanya mengenai watak seksi yang pernah kontroversi beberapa bulan yang lalu, beliau beranggapan ia satu perkara biasa dalam dunia lakonan.

“Kalau ikut logik, zaman dahulu perempuan semua berkemban dan watak yang saya bawa itu juga sememangnya perlu untuk saya berpakaian sedemikian.

“Saya buat semua ini kerana ibu dan ayah saya. Mereka sahaja sokongan kuat yang saya ada. Oleh itu, saya hanya mengabaikan kecaman itu,” ujarnya.

Trisha juga pernah menyimpan hasrat untuk berhijab. Dia bagaimanapun mahu memperbaiki diri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berkenaan.

Trisha, 24, dahulunya pernah terkenal menerusi watak Erra dalam drama Risik Pada Hati arahan Pali Yahya pada tahun 2022.

Namun, namanya semakin menjadi buah mulut masyarakat selepas membawa watak berkemban dalam filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Ahmad sehingga beliau dilabel sebagai pelakon paling  seksi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×