KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membatalkan jaminan RM250,000 terhadap seorang perunding am yang menghadapi 10 pertuduhan termasuk memperdaya sembilan pelabur berhubung pelaburan minyak sawit mentah melibatkan kerugian hampir RM1.45 juta.
Hakim Azrul Darus ketika mengeluarkan perintah itu turut mengarahkan Mohd. Azhidi Laili, 49, ditahan di penjara sehingga perbicaraan selesai.
Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Izuddin Mohamad ekoran kegagalan tertuduh hadir ke mahkamah untuk sebutan kes pada 15 April dan 15 Mei lalu.
Pendakwaan turut memaklumkan Mohd. Azhidi tidak melapor diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 2 Mei.
Menurut Azrul, kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, namun dengan budi bicara mahkamah tertuduh dibenarkan bebas dengan jaminan RM250,000 selain perlu melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan.
“Kamu (Mohd. Azhidi) dimaklumkan untuk hadir ke mahkamah bagi tujuan sebutan kes, namun kamu gagal hadir hingga ditahan dan tiada sebarang alasan diberikan oleh kamu serta penjamin. Mahkamah juga tidak berpuas hati ekoran kegagalan kamu melaporkan diri pada 2 Mei lalu,” kata Azrul.
Izuddin juga berkata, meskipun tertuduh mendakwa mempunyai sijil cuti sakit, namun ia tidak diserahkan kepada mahkamah manakala pegawai penyiasat sukar berhubung dengan lelaki itu.
Sementara itu, Mohd. Azhidi memohon supaya mahkamah tidak menarik balik jaminan yang dikenakan terhadapnya kerana beliau mempunyai sijil cuti sakit.
“Selama ini saya memberi kerjasama yang baik kepada pihak SC. Saya tidak melaporkan diri kerana saya berada dalam keadaan buntu ketika itu, oleh itu saya mohon mahkamah memberi peluang kepada saya,” katanya.
Perbicaraan kes itu telah bermula 20 Februari 2023 dengan 18 saksi telah memberi keterangan di mahkamah setakat ini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh didakwa memperdaya sembilan lelaki sehingga menyebabkan mangsa mendepositkan wang berjumlah hampir RM1.45 juta ke dalam ‘Client Segregated Accounts’ yang dipegang oleh AmFutures Sdn. Bhd.
Tertuduh ketika itu mempunyai kawalan terhadap akaun-akaun dagangan niaga hadapan berdaftar di AmFutures untuk tujuan pelaburan dalam niaga hadapan minyak sawit mentah sedangkan pelaburan tersebut tidak wujud.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Derivatives Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, antara Mei 2013 dan Mac 2014.
Bagi pertuduhan ke-10, Mohd Azhidi didakwa telah mengemukakan diri sebagai wakil AmFutures Sdn. Bhd. untuk menjalankan perniagaan tanpa Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal atau bukan merupakan orang berdaftar bagi menjalankan aktiviti pelaburan tersebut.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Tingkat 16, Bangunan AmBank Group, Jalan Raja Chulan di sini, antara Mei 2013 dan Januari 2014. – UTUSAN










