KLUANG: Jalan Rambutan di bandar ini ditutup satu lorong selepas sebahagian kawasan tempat letak kenderaan di Pekan Rabu, runtuh petang ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penutupan dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja menaikkan tebing selain mengalihkan tiang lampu yang dikhuatiri boleh tumbang.
Justeru, orang ramai diminta tidak menghampiri kawasan kejadian kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini akibat runtuhan itu.
“Pemantauan masih dilakukan bagi memastikan tiada runtuhan berlaku. Orang ramai yang datang ke pusat beli-belah di dalam Pekan Rabu atau berhampiran juga dinasihatkan memantau pergerakan anak-anak supaya tidak berada berhampiran kawasan runtuhan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Bahrin, kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku selepas hujan lebat hampir sepanjang hari melanda di bandar ini. – UTUSAN










