SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GPP EVCB) bagi menggalakkan pembangunan industri EV dan meningkatkan penggunaan kenderaan EV termasuk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, garis panduan itu telah diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri baru-baru ini.
Kata beliau, garis panduan itu disediakan bagi membantu pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua pihak yang terlibat dalam merancang, mereka bentuk dan mengawal pembangunan mengambil kira penyediaan petak pengecasan kenderaan elektrik.
“GPP EVCB ini adalah terpakai untuk pembangunan sedia ada dan pembangunan baharu. Kita perlu bersedia menyediakan lebih banyak kemudahan stesen pengecasan kenderaan EV dan GPP EVCB ini adalah penting bagi mempercepatkan proses penyediaan infrastruktur EVCB yang selamat dan lengkap di lokasi strategik.
Ia disediakan bagi membantu semua pihak yang terlibat dalam merancang, mereka bentuk dan mengawal pembangunan khususnya penyediaan pelan pembangunan dan pertimbangan terhadap permohonan kebenaran merancang, pelan bangunan atau permit pembinaan bagi petak pengecasan EV.
“Garis panduan ini juga merangkumi aspek perancangan dan reka bentuk bagi penyediaan EVCB mengikut jenis peranti pengecasan iaitu peranti jenis arus ganti atau peranti jenis arus terus yang mematuhi ketetapan oleh Suruhanjaya Tenaga” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arul Kumar berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 69 stesen pengecasan EV sedia ada di negeri ini dan 51 lagi dalam proses permohonan kebenaran merancang manakala lebih 300 cadangan pengecasan EV baharu telah diterima.
“Kerajaan negeri menjangkakan dapat menyediakan sekurang-kurangnya 300 stesen pengecasan kenderaan EV dalam tempoh dua tahun ini selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan mencapai sasaran sebanyak 10,000 petak pengecasan kenderaan elektrik di seluruh negara menjelang 2025,” kata beliau.-UTUSAN.










