JOHOR BAHRU: Jenazah suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi awal pagi kelmarin masih belum dituntut.
Jenazah lelaki berusia 21 tahun itu masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Sumber memaklumkan, proses bedah siasat telah selesai dijalankan oleh pihak hospital dan jenazahya dijangka dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Kampung Sungai Tiram, di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati sebuah liang lahad telah disediakan, dipercayai bagi menempatkan jenazah suspek berkenaan yang ditembak mati dalam kejadian tersebut.
Walau bagaimanapun, lokasi liang lahad tersebut terletak di hujung tanah perkuburan berkenaan, kira-kira 200 meter dari kubur lain.
Dalam serangan kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban, manakala Koperal Mohd. Hasif Roslan cedera dan kini dirawat di HSI – UTUSAN











