GEORGE TOWN: Kejayaan membawa pulang satu mata berharga dari Stadium Likas selepas terikat tanpa jaringan dengan Sabah dalam aksi pertama saingan Liga Super minggu lepas memberi suntikan moral yang tinggi kepada Penang FC ketika ini.
Perkara tersebut diakui sendiri pengendali Skuad Harimau Kumbang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Akmal Rizal berkata, beliau yakin anak-anak buahnya akan mempamerkan aksi terbaik apabila menerima kunjungan Terengganu malam ini dalam misi untuk memungut tiga mata penuh di laman sendiri.
“Secara taktikalnya, saya rasa berkemungkinan kita akan mengekalkan pemain-pemain yang sama ketika beraksi di Sabah tempoh hari.
“Apa pun, saya perlu melihat sesi latihan terakhir petang ini (semalam) untuk menilai dan memastikan bahawa hanya pemain yang benar-benar cergas sahaja diturunkan ketika menentang Terengganu nanti.
“Pada masa yang sama, saya juga mengharapkan penyokong dan peminat-peminat Penang FC akan turun beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan padu kepada para pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perlawanan menentang Sabah tempoh hari, Akmal Rizal mengambil risiko apabila menurunkan empat pemain pelapis daripada skuad bawah 23 tahun termasuk tiga daripadanya sebagai pemain gantian untuk bersama skuad senior bagi mengekang asakan Sabah. – UTUSAN










