Jangan biar sel radikal bercambah - Utusan Malaysia

Jangan biar sel radikal bercambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka sebuah rumah kayu kecil usang dengan bumbung zink jongkang-jongkit yang terletak betul-betul di hujung sebuah kampung kecil berhampiran Ulu Tiram, Johor didiami oleh sekumpulan individu radikal.

Keluarga yang disifatkan oleh jiran-jiran sebagai hidup bersendirian dan tertutup itu rupa-rupanya adalah pentaksub kepada kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) yang sanggup melakukan serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram di awal pagi Jumaat lalu menyebabkan dua anggota polis terkorban.

Ini bukan kali pertama negara kita dikejutkan de­ngan serangan ala pengganas seperti ini terutama JI yang cita-cita mereka ialah mewujudkan sebuah negara Islam di Asia Tenggara meliputi selatan Thailand, Malaysia, Si­ngapura, Brunei, Indonesia dan selatan Filipina.

Kerana berpegang kepada cita-cita sempit ini mereka mewujudkan sel-sel JI hampir di setiap negara di Asia Tenggara, selain melakukan beberapa serangan terancang yang mengorbankan nyawa.

Bagi yang mengikuti perkembangan JI, sudah tentu biasa mendengar nama Abu Bakar Bashir, warga Indonesia yang mengasaskan JI pada 1993 yang dikatakan ada kaitan dengan Al Qaeda.

Pada tahun 2001 pihak berkuasa Singapura berjaya mengesan sel JI ini yang merancang serangan ke atas tentera laut Amerika Syarikat.

Pada tahun 2002 mereka terlibat dalam pengeboman di Bali yang mengorbankan 202 nyawa diikuti dengan pengeboman hotel JW Marriot di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 12 orang maut.

Kumpulan JI ini turut melakukan pengeboman ke atas kedutaan Australia pada 2004 yang membunuh 22 orang selain beberapa serangan lain terutama di Indonesia dan Filipina.

Negara kita turut tidak terlepas daripada pengaruh JI apabila beberapa nama rakyat Malaysia turut terlibat dalam gerakan yang disenaraikan sebagai pengganas itu.Mengetuai senarai rakyat Malaysia itu sudah tentulah Noordin Muhammad Top yang telah berjaya dibunuh oleh pihak berkuasa Indonesia.

Sejak gerakan JI dapat dikenal pasti, pihak berkuasa di Asia Tenggara telah menjalankan gerakan memburu anggotanya termasuk beberapa pemimpin atasannya telah dibunuh. Tetapi ia tidak bermakna gerakan itu sudah lenyap selama-selamanya.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa terletak kira-kira 100 meter dari rumah suspek serangan balai polis Ulu Tiram itu, terdapat sebuah bangunan dua tingkat yang terbiar dengan papan tanda ‘dilarang menceroboh, harta persendirian’.

Bangunan terbiar itu sebenarnya adalah bekas sekolah agama Luqmanul Hakiem yang didakwa didirikan oleh Abu Bakar Bashir pada awal 1990-an selepas melarikan diri daripada pemerintahan Presiden Suharto di Indonesia.

Sekolah itu pernah dihadiri oleh Noordin Muhammad Top, yang disyaki dalang pengeboman hotel Jakarta pada 2009, serta seorang lagi militan JI, Mukhlas yang terlibat dalam pengeboman Bali 2002.

Sel-sel JI ini belum terhapus sepenuhnya dan ada yang hidup secara terpencil sama ada diwarisi melalui keluarga atau bacaan di internet. Sebab itu pemantauan secara berterusan perlu dilakukan. Tidak boleh leka. Sel-sel ini tidak boleh dibiarkan bercambah kerana akan mengancam keselamatan negara seperti mana yang berlaku pada awal pagi Jumaat itu.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia