Balai polis diserang: Jangan ambil mudah walau kes terpencil, ketika negara aman - TPM - Utusan Malaysia

Balai polis diserang: Jangan ambil mudah walau kes terpencil, ketika negara aman – TPM

AHMAD ZAHID Hamidi (dua dari kanan) diberi penerangan ketika hadir pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Cenerfi-Fjp di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kejadian dua anggota polis maut manakala seorang ce­de­ra dalam serangan nekad ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru oleh seorang pemuda yang disyaki ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) semalam tidak boleh dipandang mudah walaupun ia ‘isolated’ dan berlaku ketika negara dalam keadaan aman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh itu, bukan sahaja Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu turut bergerak untuk menentukan tidak berlaku kejadian sedemikian.

“Saya fikir negara kita harus bebas daripada keganasan, negara kita harus menjamin keharmonian pelbagai kaum dan agama.

“Saya telah menyarankan agar kesefahaman silang budaya mesti dilakukan supaya pemahaman fahaman rakyat pelbagai kaum dan agama ini dapat dipertahankan di negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Cenerfi-Fjp di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di sini hari ini.

Dalam serangan kira-kira pu­­kul 2.30 pagi semalam, suspek yang berusia 21 turut maut di­tembak. anggota polis yang cedera di bahu semasa mem­balas tembakan suspek.

Dua anggota polis yang terkorban, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konsta­bel Muhamad Syafiq Ahmad Said, kedua-duanya anggota ron­da cegah jenayah yang sudah ber­khidmat kira-kira dua tahun lalu.

Namun, identiti seorang anggota polis yang cedera masih belum didedahkan setakat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan sebagai berkata, suspek yang memakai topeng dan berpakaian gelap dipercayai te­lah membuat persediaan rapi bagi melakukan serangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada PDRM yang bergerak pantas menyelesaikan persoalan JI ini.

“Sepatutnya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) yang pernah saya bentangkan ketika menjadi Menteri Dalam Negeri boleh mengekang pergerakan ini, namun saya merasakan tidak sepatutnya negara kita terus menghadapi permasalahan keganasan.

“Malaysia ialah negara contoh yang mana dasar Deradikalisasi telah diterima oleh pihak dunia, malah ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, saya telah mengemukakan manual Deradikalisasi untuk terorism ini atau keganasan di peringkat global.

“Saya kemukakan ketika Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mesyuarat Majlis Keselamatan PBB dan saya telah mengemukakan kepada Perdana Menteri British ketika itu, Perdana Menteri Australia, Perdana Menteri India dan juga kepada Putera Mahkota Arab Saudi. Ini negara-negara yang terpaksa menghadapi keganasan ini,” katanya.

Jadi beliau berkata, apa berlaku di Ulu Tiram itu, tindakan pantas pihak polis begitu dialu-alukan dan tentunya kerajaan mahu menghapuskan 100 peratus pengaruh keganasan di negara ini.

“Kita mengucapkan takziah kepada dua anggota polis terkorban dan seorang yang tercedera, namun saya merasakan pihak cawangan khas khususnya bahagian anti keganasan harus diucapkan tahniah kerana terus bergerak walaupun selama ini keadaan agak tenang.

“Saya juga mengharapkan masyarakat umum keseluruhannya harus menyantuni kumpulan berkenaan (JI) supaya mereka tidak terus terjebak apabila mereka terasing daripada komuniti yang lebih besar ini di sesuatu kawasan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×