“Saya tidak terkilan dia jadi polis”

“Saya tidak terkilan dia jadi polis”

AZHAR KHAIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bapa kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi, 22, reda dengan kejadian yang menimpa anaknya apabila terbunuh ketika sedang bertugas di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi ini.

Azhar Khaiden, 54, guru di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah, Sungkai, Perak berkata, dia juga tidak terkilan dengan pilihan anaknya untuk menjadi seorang anggota polis.

Katanya, Ahmad Azza Fahmi, anak keempat daripada lapan beradik, bercita-cita menjadi anggota polis sejak kecil lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya reda, percaya Allah telah sebut apabila tiba ajal, nescaya tidak diperlengahkan walau sesaat. Ini adalah kenyataan hidup dan kehidupan kita sudah ditentukan olehnya.

“Kalau kita menangis keluar air mata darah sekalipun, yang pergi tetap pergi dan yang masih ada perlu teruskan kehidupan, semua kita ini milik Allah.

“Saya tidak terkilan (anak menjadi polis), kerana abang dia juga seorang polis dan kini berkhidmat di Sabah. Manakala adik perempuannya akan berdepan temuduga menjadi anggota polis Isnin ini. Minta-minta dia akan menggantikan tempat abangnya berkhidmat untuk negara, Insha-Allah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azhar tiba bersama isteri, Nurhaliza Awaluddin serta beberapa anak tiba di pekarangan  Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), kira-kira pukul 6.45 petang tadi.

Menurut Azhar, dia mendapat tahu tentang kejadian itu pada pukul 2.53 pagi, dan terus bergerak ke Johor Bahru.

“Pihak berkuasa ada undang-undang, di sana esok pun ada, kita terima. Saya serahkan perkara ini kepada Yang Maha Esa. Ada pengadilan di sana nanti dan sedih yang saya rasakan hanya simpan di dalam hati, di luar mungkin tidak nampak.

“Kenangan yang ada bersamanya akan terus abadi, tetapi naluri seorang bapa apabila anak jadi seperti ini pastinya sedih. Mana-mana bapa akan cakap anak mereka baik, tetapi Allahyarham memang anak yang baik,” ujarnya sambil memberitahu Allahyarham masih belum berumahtangga.

Tambah Azhar, kali terakhir dia bertemu anaknya itu adalah pada Ramadan lalu apabila Allahyarham pulang ke keluarga mereka di Perak.

“Masa Aidilfitri dia tidak dapat bercuti kerana perlu bertugas, kita faham dia orang (anggota) baharu. Dia luangkan masa cuti bersama keluarga di rumah selama lima hari.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan apa-apa, sama seperti biasa. Malam semalam kami berbual seperti biasa di dalam group WhatsApp ahli keluarga, jadi agak terkejut terima berita ini pagi tadi secara tiba-tiba,” ujarnya.

Dia turut memberitahu, jenazah akan dikebumikan di Kampung Poh, Bidor esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×