Cubaan sabotaj perkhidmatan di Hospital Serdang?

Cubaan sabotaj perkhidmatan di Hospital Serdang?

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menyamar jadi doktor di Hospital Serdang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak khuatir isu yang berlaku di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang berkemungkinan cubaan mensabotaj perkhidmatan sehingga meng­untungkan sesetengah pihak.

Jurucakap Hartal berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) terutamanya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan perlu tampil menjelaskan isu berkenaan.

Dia yang enggan dikenali berkata, isu itu menjejaskan imej baik Kementerian Kesihatan dan masalah teknikal tidak dapat di­selesaikan menunjukkan kelemahan pihak pengurusan tertinggi kementerian.

Ujarnya, ia juga menyebabkan nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia terjejas sehingga ada pesakit yang meninggal sebelum sempat menjalani pembedahan.

“Isu Pusat Jantung ini sangat serius dan mungkin ada cubaan untuk mensabotaj servis hingga menguntungkan sesetengah pihak.

“Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara harus segera menyiasat perkara ini supaya sebarang penyelewengan atau salah urus dapat dibaiki.

“Kini kami dalam proses me­ngumpul aduan untuk disalurkan ke SPRM dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, empat dewan bedah di bangunan baharu Pusat Jantung di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang didakwa gagal berfungsi kerana masalah teknikal.

Sumber yang rapat dengan pusat jantung berkenaan mendakwa, kira-kira 1,000 prosedur pembedahan jantung tidak dapat dijalankan susulan masalah tersebut.

Lebih menyedihkan, semua bilik bedah di bangunan lama turut tidak dapat digunakan akibat masalah sama.

Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, dewan bedah dan lain-lain fasiliti kesihatan berkaitan harus diperbaiki segera supaya pembedahan dapat dijalankan serta merta.

Katanya, KKM tidak sepatutnya mengambil mudah penyelenggaraan dewan bedah hingga timbul masalah seperti itu.

“Masalah kekurangan petugas kesihatan kita sudah sedia maklum tidak dapat diselesaikan dalam waktu singkat, tetapi masalah teknikal dan penyelenggaraan pasti dapat diselesaikan segera.

“Kita sudah ada pelbagai polisi, panduan dan Kertas Putih Kesihatan namun semua itu sia-sia jika masalah seperti ini tidak diselesaikan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×