Jurusolek pengantin ‘veteran’ perah kudrat cari rezeki

Jurusolek pengantin ‘veteran’ perah kudrat cari rezeki

ROZITA Hamzah (kanan) tekun menyiapkan seorang pengantin di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Jurusolek pengantin dan pengusaha peralatan perkahwinan ‘veteran’ tetap tabah menghadapi cabaran walaupun perlu bersaing bagi mendapatkan pelanggan serta cabaran aspek teknik atau seni solekan yang lebih kreatif dan kontemporari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurusolek ‘veteran’, Rozita Hamzah, 51, yang tinggal di Felda Kota Gelanggi Dua di sini berkata, perniagaannya mula nampak suram sejak ancaman dan penularan wabak Covid-19.

“Agak sukar saya memperoleh pelanggan, paling banyak sekali tempahan perkhidmatan sebulan dan sekali-sekala ada juga lebih tempahan, itupun perkhidmatan peralatan pelamin dan pakaian pada musim cuti.

“Saya cuma memperoleh tidak kurang RM1,000 sebulan upah solekan dan peralatan pengantin yang ditempah daripada keluarga pengantin di tanah rancangan ini dan Wilayah Jengka,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini.

Menurut Rozita, dia yang berkecimpung perniagaan peralatan pengantin dan solekan sejak 20 tahun lalu tidak menafikan kemunculan ramai pengusaha dalam kalangan orang muda sehingga golongan ‘veteran’ sepertinya mula ketinggalan dalam arus persaingan tersebut.

“Ada pengusaha yang menyediakan perkhidmatan peralatan pengantin sahaja, tetapi menggunakan jurusolek dalam kalangan rakan mereka sendiri sudah tentulah mengecilkan peluang orang (pengusaha) lain.

“Lagipun trend hari ini, keluarga pasangan pengantin lebih gemar mendapatkan perkhidmatan logistik daripada pengusaha yang sudah dikenali menyediakan semua sekali seperti dewan, katering, alat pengantin, jurusolek, pengacara dan sebagainya menyebabkan pengusaha kecil seperti kami mula terpencil,” katanya.

Katanya, ekoran kesuraman perniagaannya, banyak peralatan pengantin seperti pelamin, pakaian dan sebagainya disimpan di stor belakang rumah kerana jarang ditempah malah tidak tahu bila nasibnya yang ‘suram’ bertukar ‘ceria’ seperti sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×