PUTRAJAYA: Selepas lima tahun, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim bakal diadakan pada 20 Julai depan bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga dilantik kerajaan selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan.
“Kita sedia maklum bahawa ia cukup istimewa disaksikan hanya lima tahun dengan rakyat mendambakan pengalaman tidak dapat dilupakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Kali terakhir istiadat ini diadakan ialah pada 30 Julai 2019 melibatkan penyandang dahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dari Pahang.
Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan pada 31 Januari lalu serta mengulangi peristiwa sama dilaksanakan ayahandanya, Sultan Iskandar pada 1984 sebagai Yang di-Pertuan Agong VIII hingga 1989.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, enam acara sampingan diadakan bersempena istiadat itu bermula dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai di Masjid Negara diikuti keesokannya Khutbah Khas Solat Jumaat manakala acara terakhir ialah Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai nanti di Istana Negara.
Turut diadakan ialah Majlis Santapan Diraja di istana tersebut pada 20 Julai, disusuli pula lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli di Gombak, Selangor pada 23 Julai.
Selain itu ujarnya, Pameran Raja Kita juga berlangsung pada 25 Julai di Muzium Negara, Kuala Lumpur yang bertujuan memupuk perasaan cinta kepada institusi beraja nasional.
Fahmi turut memaklumkan bahawa tarikh Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda adalah tetap pada 3 Jun nanti yang juga sudah diwartakan sebagai cuti umum.
Walau bagaimanapun tambah beliau, Yang di-Pertuan Agong XVII telah pun mengampuni limpah perkenaan agar acara-acara sambutan tersebut pada bulan depan ditangguhkan ke September kelak bagi memberikan keutamaan Istiadat Pertabalan dan acara-acara lain bersempena dengannya. – UTUSAN











