REMBAU: Jenazah Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia di kediaman rasminya di sini pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Mungkal Sepri, di sini, kira-kira pukul 7.20 malam.
Sebelum itu, kenderaan membawa jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 6.15 petang selepas solat jenazah dipimpin oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin selepas solat Asar.
Terdahulu, jenazah dimandikan dan dikafankan kira-kira pukul 1 tengah hari di Kediaman Rasmi Undang Luak Rembau, di sini disusuli dengan upacara menziarah dan memberi penghormatan terakhir oleh orang kenamaan dan orang ramai.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di surau Kediaman Rasmi Undang Luak Rembau.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Mohd, Jan Abdul Ghani dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, beberapa orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan juga hadir memberikan penghormatan terakhir.
Muhamad Sharip meninggal dunia akibat sakit tua di kediaman rasminya, kira-kira pukul 9.02 pagi tadi.
Allahyarham dilahirkan pada 14 Ogos 1941 di Kampung Waris Tebat, Chembong Kecil, di sini dan telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke 21 pada 21 November 1998.
Sementara itu, Datuk Perba, Abdul Razak Mohd. Yassin berkata, upacara mendirikan adat dibuat kira-kira pukul 11.30 pagi bagi menyerahkan pesaka termasuk keris dan sepersalinan pakaian kepada datuk lembaga adat sebelum jenazah dikebumikan.
Menurutnya, pesaka itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Soko untuk disimpan sehinggalah datuk lembaga adat dapat mencari ‘benih’ (Undang yang baharu) dalam tempoh ditetapkan.
“Ibu Soko akan serah kepada saya bila Undang yang baharu dikenal pasti pada masa yang ditentukan semula biasanya selepas 100 hari,” katanya lagi.-UTUSAN.











