Sang bedal Sungai Malim resahkan penduduk Kampung

Sang bedal Sungai Malim resahkan penduduk Kampung Tengah

PAPAN tanda amaran buaya berhampiran Sungai Malim, Kampung Tengah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk Kampung Tengah di sini yang tinggal berhampiran Sungai Malim dan Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang resah berikutan munculnya kelibat seekor buaya yang membaham kambing, petang semalam.

Tidak sampai 24 jam selepas kejadian pada pukul 6.30 petang semalam, penduduk mendakwa terlihat seekor lagi sang bedal dengan panjang dianggarkan lebih lima meter, kira-kira pukul 8.10 pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Hamzah Ibrahim berkata, situasi itu jelas membuatkan penduduk sekitar kian bimbang akan keselamatan anak-anak kecil dan kaki pancing, walaupun belum ada kes serangan manusia di situ.

Menurutnya, mereka mendesak pihak bertanggungjawab bertindak segera menangkap reptilia itu yang terbukti semakin mengganas berikutan insiden membaham kambing.

“Saya khuatir bila air pasang akan datang dan buaya ini naik ke darat, sekali gus menggugat pemancing dan anak-anak yang sering bermain di tebing sungai,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, warga emas, Mak Midah, 62, berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) khususnya perlu memasang perangkap dengan kadar segera bagi mengelakkan insiden tidak diingini menimpa orang ramai.

“Pagi tadi sewaktu menyiapkan cucu ke sekolah, penduduk menjerit ternampak buaya. Saya pergi tengok buaya itu sangat besar kira-kira pukul 8.10 pagi. Petang semalam sudah jadi kalut bila penduduk ternampak buaya membaham ibu kambing. Bila sudah kerap muncul rasanya perlu ada tindakan wajar diambil
untuk menangkapnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×