JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks apabila menahan lapan ahli Geng Bala termasuk dalangnya dalam lima serbuan di Johor Bahru dan Kulai bermula 21 April hingga 1 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, lapan ahli sindiket itu terdiri daripada empat warga tempatan termasuk ketuanya dan empat warga asing.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut, pihak polis turut menyelamatkan 13 wanita warga asing berusia antara 22 hingga 49 tahun.
“Sindiket ini yang dipercayai beroperasi sejak November tahun lalu menggunakan modus operandi dengan menawarkan kerja sebagai operator kilang dan pembantu rumah kepada mangsa menerusi ejen di negara sumber.
“Mangsa kemudiannya diuruskan ejen pekerjaan termasuk tiket penerbangan dan pas lawatan mangsa untuk memasuki Malaysia. Apabila sampai di Malaysia melalui pintu masuk antarabangsa, mangsa akan diajar memasuki negara ini untuk tujuan melancong dan diberikan wang ‘show money’ sebelum dibawa ke rumah transit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Sekiranya kemasukan mangsa ditolak, mereka akan dibawa ke negara jiran dan dibawa masuk melalui jalan tidak diwartakan.
Kumar memberitahu, semasa di rumah transit, pasport serta telefon bimbit mangsa akan dirampas ahli sindiket sebelum dimaklumkan bahawa tiada lagi pekerjaan sebagai pekerja kilang dan pembantu rumah.
Sindiket memberitahu hanya pekerjaan sebagai pelacur yang ada dan sekiranya mangsa enggan, mereka dikehendaki membayar ganti sebanyak RM11,000 sebagai kos perbelanjaan ke Malaysia.
“Mangsa terpaksa menjadi pelacur dan hasil siasatan mendapati mereka terpaksa melayan sehingga 35 pelanggan sehari dengan bayaran antara RM100 hingga RM200, manakala untuk semalaman sebanyak RM300,” katanya.
Pihak polis turut merampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, 41 keping kondom, 24 pasport negara asing, wang tunai RM8,730, buku catatan aktiviti pelacuran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara, manakala suspek dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini.
Lima daripada lapan suspek didakwa dengan 39 pertuduhan, iaitu 13 Pertuduhan di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007, 22 pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN










