PETALING JAYA: Pengarah, Megat Sharizal Mohamed Yusoff, memerlukan RM150,000 dana agar produksinya dapat menyiapkan proses pasca produksi filem Mencari Ramlee.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Megat Shahrizal berkata, jumlah itu diperlukan bagi menampung kos teknikal seperti audio, imej janaan komputer, skor filem dan lesen muzik.
“Proses suntingan sudah siap dilakukan namun kami terpaksa tangguhkan kerja untuk pasca produksi kerana masalah kewangan.
“Kami memerlukan dana sebanyak RM150,000 untuk menyiapkan filem ini. Jumlah itu tidak termasuk kos pemasaran dan promosi.
“Filem ini membawa latar tahun 1973, jadi memang menelan jumlah yang agak banyak untuk menghidupkannya di dalam filem termasuklah dari aspek lokasi, pakaian dan prop menyebabkan kos keseluruhan meningkat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Megat berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan naskhah Mencari Ramlee yang menceritakan secara fiksyen era kejatuhan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1970-an.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Megat Shahrizal berusaha mencari pelabur di samping mengintai peluang untuk memohon geran yang bersesuaian.
“Perancangan asal memang mahu terbitkan filem pada tahun ini. Namun melihat kepada masalah yang dihadapi, saya tidak berani meletakkan apa-apa tarikh.
“Sekarang saya sedang cuba mencari mana-mana pelabur yang berminat dengan filem ini. Saya juga mencari peluang untuk memohon dana sama ada dari dalam atau luar negeri,” katanya.
Sebelum ini, filem Mencari Ramlee telah menerima Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bernilai RM1 juta untuk merealisasikan projek itu.
Filem tersebut turut dijayakan barisan pelakon handalan seperti Sofea Jane, Tony Eusoff, Bront Palarae, Vanidah Imran dan Sharifah Amani. – UTUSAN










