Buat belanja kahwin, sekolah antara alasan pencarum KWSP

Buat belanja kahwin, sekolah antara alasan pencarum KWSP

ORANG ramai menunggu giliran bagi urusan pemindahan caruman daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel di pekarangan pejabat KWSP di Jalan Greentown, Ipoh, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perbelanjaan persiapan perkahwinan merupakan antara alasan pencarum yang meme­nuhi pekarangan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Greentown di sini bagi memindahkan simpanan dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Para pencarum memenuhi premis itu seawal pukul 7 pagi untuk menantikan pejabat dibuka pada pukul 8.30 pagi.

Pencarum mahu memindahkan simpanan dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel berikutan penstrukturan akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

“Saya mengetahui perkara ini dalam berita. Saya mahu pakai duit untuk belanja perkahwinan saya pada 1 Jun ini,” kata seorang pencarum yang mahu dikenali sebagai Ida, 22, bekerja sebagai pembantu rangkaian minuman mewah ternama.

Seorang lagi pencarum, Hamdan, 48, memberitahu, dia hadir ke pejabat KWSP kerana tidak memahami proses untuk mengeluarkan duit tersebut dan baginya maklumat yang diterangkan dalam internet dan media sosial agak mengelirukan.

“Saya datang dari Kampung Gajah sejak pukul 7 pagi. Hampir dua jam saya tunggu. Rakyat perlukan duit kerana bulan lepas duit habis digunakan untuk belanja persekolahan dan persiapan hari raya,” katanya.

Bagi mengawal keadaan yang sesak, pejabat KWSP Cawangan Ipoh menyediakan kerusi me­nunggu di hadapan pintu masuk dan setiap pencarum dipanggil mengikut giliran.

Kesemua pencarum yang duduk menunggu di kerusi yang disediakan adalah mereka yang mahu menguruskan Akaun Fleksibel masing-masing, manakala untuk urusan lain dibenarkan terus masuk ke dalam pejabat.

Suasana dilihat tenang walaupun ada yang melahirkan rasa tidak puas hati kerana terdapat pencarum lain memotong barisan.

“Saya hadir, mereka imbas kad pengenalan. Kemudian kakitangan ajar bagaimana mahu menggunakan aplikasi i-Akaun. Urusan saya selesai dalam masa 10 minit. Saya mahu gunakan duit ini untuk bayar macam-macam,” kata Ajak, 39.

Ada pencarum pulang setelah melihatkan kesesakan dan tempoh menunggu yang lama.

KWSP mengumumkan inisiatif penstrukturan akaun KWSP de­ngan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Menerusi penstrukturan itu, pencarum boleh mengeluarkan duit menerusi Akaun Fleksibel berdasarkan baki yang ada dalam Akaun Sejahtera.

Misalnya, jika simpanan dalam Akaun Sejahtera melebihi RM1,000 tetapi kurang RM3,000, duit yang boleh dipindahkan ke Akaun Fleksibel ialah RM1,000 sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×