PASIR MAS: Penduduk di daerah ini sanggup beratur seawal pukul 8 pagi untuk membeli beras pada harga murah menerusi Jualan Agro Madani Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang berlangsung di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan sekampit beras seberat 10 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM25.
Seorang warga emas, Kamariah Mamat, 70, berkata, dia tidak melepaskan peluang membeli enam kampit beras untuk dijadikan sebagai stok.
Menurutnya, pembelian dalam kuantiti yang banyak itu disebabkan dia mempunyai ahli keluarga yang ramai.
“Jualan Agro Madani ini amat membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan seperti saya. Hal ini kerana harga yang ditawarkan cukup murah berbanding pasaran biasa.
“Biasanya, harga runcit sekampit beras untuk berat yang sama boleh mencecah sehingga RM30,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPP Nik Mohd. Shaharil Nik Md. Hashim memberitahu, penjualan beras menerusi Jualan Agro Madani di negeri meningkat sehingga 6,000 kampit bermula 29 April sehingga 13 Mei lalu.
Katannya, jualan ini merupakan salah satu usaha kerajaan membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.
“Alhamdulillah, hari ini sebanyak 2,000 kampit beras telah dijual. Menariknya, hari ini beras jual RM25 lebih rendah daripada harga kawalan iaitu RM26.
“Insiatif yang diambil oleh PPK Kankong ini memberikan manfaat kepada kepada ahli dan penduduk setempat,” ujarnya.-UTUSAN










