Penerbangan antarabangsa lonjakan ekonomi Kelantan

Penerbangan antarabangsa lonjakan ekonomi Kelantan

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) meninjau kemudahan yang terdapat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan (MOT) yakin penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini mampu melonjakan perkembangan ekonomi Kelantan pada masa hadapan.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi penambahan pelancong dalam dan luar negara yang menyaksikan LSTIP sebagai salah satu pencapaian penting dalam sektor penerbangan negara.

“Melihat kepada potensi itu, kita (MOT) mengalu-alukan syarikat penerbangan yang ingin memulakan penerbangan antarabangsa di LTSIP.

“Hal ini kerana, kemudahan sudah tersedia susulan projek pembesaran dan naik taraf fasa satu sudah siap,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaiktaraf LTSIP Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin.

Siew Fook memberitahu, syarikat penerbangan yang berminat membuka laluan baru termasuk dari Thailand dan Singapura perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Katanya, ketika ini operasi penerbangan LTSIP hanya melibatkan penerbangan bagi laluan domestik sahaja iaitu Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Jumlah kekerapan penerbangan mingguan adalah sebanyak 129 kali. Kerjasama semua pihak berkaitan termasuk syarikat-syarikat penerbangan amat diperlukan untuk bersama-sama membantu mempromosikan pelbagai destinasi menarik di negeri ini bagi tujuan memangkinkan penambahan pelbagai laluan penerbangan sam ada dari atau ke LTSIP.

“Sebagai lapangan terbang domestik yang tersibuk di semenanjung, LTSIP mencatatkan 1.58 juta penumpang setahun (mppa) pada 2023 di mana telah melebihi kapasiti asal 1.5 juta penumpang setahun,” ujarnya.

Siew Fook berkata, sebelum wabak Covid-19 melanda pada tahun 2019 lalu LTSIP telah mencatatkan jumlah pengendalian penumpang yang memberangsangkan iaitu seramai 1.82 juta orang.

Katanya, melihat kepada situasi itu Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM440 juta untuk melaksanakan projek menaiktaraf LTSIP.

“Skop utama projek adalah pembinaan bangunan terminal baharu untuk meningkatkan kapasiti lapangan terbang dari 1.5 juta kepada 4.0 juta penumpang setahun. 

“Dengan adanya terminal baharu ini, LTSIP mampu mengendalikan penumpang-penumpang yang kian meningkat dan secara langsung akan menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan komersial untuk menyediakan  penerbangan secara terus ke Kota Bharu,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×