AWAL minggu lalu, pentas hiburan Hollywood menyaksikan ‘perang’ fesyen luar biasa apabila majlis berprestij, Met Gala kembali buat kali ke-76 sejak ia diadakan pada 1948.
Menariknya, acara tersebut pada saban tahun akan disulami dengan tema-tema tertentu yang membolehkan setiap tetamu terutama selebriti jemputan ‘bereksperimen’ dengan gaya busana masing-masing mengikut idea dan kreativiti si pereka.
JIka dahulu selebriti yang hadir sekadar mahu tampil elegan, tahun-tahun kebelakangan menuju era baharu, ramai kalangan selebriti mula hadir dengan fesyen yang lebih berani demi meraih perhatian dan diangkat sebagai artis dengan fesyen paling unik.
Jadi, tahun ini, tema yang ditetapkan adalah Sleeping Beauties: Reawakening Fashion. Kedengaran ringkas, tetapi siapa sangka, tahun ini ramai selebriti menunjukkan daya saingan tinggi dari aspek penggayaan busana.
Namun, awas! Dalam galak dan terujanya tampil bergaya dengan harapan mahu kelihatan hebat, ada juga antara mereka yang tidak cakna dengan ‘tugasan’ yang diberikan.
Di sebalik semua itu, ada juga yang tampil jelik dan pelik, sehinggakan menjadi bahan ketawa orang.
Berikut Pancaindera senaraikan beberapa selebriti yang tampil dengan fesyen pelik dan jelik untuk tatapan pembaca.

DOJA CAT PAKAI TUALA?
PENYANYI ini adalah antara selebriti yang sering dinanti nantikan ramai kerana kebiasaannya cukup gemar ‘menyajikan’ sesuatu yang berbeza buat peminat dunia seni hiburan.
Bagaimanapun, simpan sahajalah harapan untuk melihat Doja menyarung busana bunga bunga mengikut tema kerana kali ini, penyanyi lagu Demons ini memilih untuk cuma mengenakan kain tuala sahaja ke acara karpet merah berprestij itu.
Tidak cuma itu, Doja juga tampil memakai gaun basah berwarna putih rekaan Vetements yang sememangnya bertujuan memaparkan bentuk tubuhnya bak seorang wanita yang kuyup kebasahan dek hujan.
Rupa macam tidak sempat bersiap hadir ke majlis besar besaran? Ya mungkin itu kata yang tepat untuk meng gam barkan penampilan yang dipilih Doja kali ini.

BAJU PASIR TYLA
PENAMPILAN penyanyi, Tyla, pada tahun ini nampaknya berjaya menjadi bualan ramai apabila dia berani menyuntik kelainan dengan menggayakan busana yang direka dengan menggunakan pasir.
Ya, pasir! Anda memang tidak salah membacanya dan busana rekaan Balmain itu kononnya diinspirasikan daripada pasir masa.
Minimalis, tetapi pada masa sama sangat glamor. Cuma, apa yang jeliknya, gara gara menyarungkan busana itu, Tyla hinggakan terpaksa didukung oleh beberapa pengawal dalam keadaan dia kaku atau statik seperti patung.

GWENDOLINE CHRISTIE, HALLOWEEN ATAU MET GALA?
PELAKON drama bersiri popular, Game of Thrones dan Wednesday ini merupakan antara artis yang tiba awal pada acara Met Gala 2024 di New York tempoh hari.
Bagaimanapun, penampilan pelakon ini menjadi bualan ramai dari sudut negatif dengan dia disamakan bak ahli sihir.
Menggayakan busana rekaan Maison Margiela, Gwendoline, dianggap bagai tersalah menerima ‘tugasan’ kerana busana itu seakan tidak sesuai dan tidak kena tema.
Ada yang menyamakan penampilan Gwendoline seakan mahu menghadiri parti Halloween. Anda nilailah sendiri.

MICHELLE YEOH DAN KERTAS ALUMINIUM
BUKAN tidak sayang dengan pelakon ini. Apatah lagi, inilah anak Malaysia yang berjaya mengukir nama di persada seni antarabangsa.
Bagaimanapun, Michelle seakan tersilap percaturan kerana busana yang digayakannya tidak kena dengan tema.
Michelle menjadi bahan jenaka ramai apabila dia dikatakan memakai kertas aluminium yang dijadikan busana di saat-saat akhir.
Sebagai satu nama besar, Michelle sepatutnya boleh lakukan lebih lagi.

SYDNEY SWEENEY DISANGKA BILLIE EILISH
BAGI mereka yang meminati pelakon ini, pasti tahu wanita ini mempunyai rupa paras cantik.
Bagaimanapun, untuk acara Met Gala 2024, Sydney nampaknya telah melakukan kesilapan dengan memilih menggayakan busana rekaan Miu Miu.
Busana tersebut dilihat seakan tidak kena dengannya apa lagi Sydney mencuba membuat kelainan dengan tampil bergaya dengan rambut berwarna hitam pekat yang bukan warna rambut asalnya.
Berikutan itu, Sydney hampir sahaja tidak dikenali ramai selain menyebabkan rata-rata menyangka dia Billie Eilish. Maklum sahajalah, rupa paras mereka lebih kurang serupa.
Pun begitu, penampilan pelakon ini mengecewakan ramai peminatnya pada acara tersebut.











