MIDF optimis prestasi jangka panjang Mah Sing

MIDF optimis prestasi jangka panjang Mah Sing

M Adora yang dibangunkan oleh Mah Sing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Ama­nah Investment Bank Bhd. kekal optimis dalam pres­tasi jangka panjang untuk Mah Sing Group Bhd. (Mah Sing), dipacu oleh pendedahan kukuhnya kepada segmen kediaman mampu milik.

Bank pelaburan berkata, segmen hartanah perindustriannya yang semakin meningkat akan memacu pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan.

Katanya, Mah Sing memperluaskan kehadirannya di Kepong dengan pelancaran M Zenya dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM550 juta yang merupakan projek terbaharu dan keempatnya di Kepong

“Projek yang telah disiapkan di Kepong termasuk Lakeville Residence (GDV: RM1.5 bilion) dan Residensi Seri Wahyu (GDV: RM200 juta) yang telah siap pada 2020.

“Sementara itu, terdapat dua projek yang sedang dijalankan di Kepong iaitu M Luna (GDV: RM705 juta) dan M Nova (GDV: RM790 juta).

“M Luna dijadualkan siap dalam suku ketiga 2024, manakala M Nova disasarkan siap pada 2028,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma berkata, unjuran jualan baharu untuk Mah Sing kekal positif, disokong oleh pelancaran projek M Series yang akan datang iaitu M Terra dan M Hana di Puchong, M Tiara di Johor, M Legasi di Semenyih, dan M Azura di Setapak.

Katanya, jualan hartanah baharu daripada rumah mampu milik M Series kekal menggalakkan yang sepatutnya menyokong sasaran jualan baharu Mah Sing sebanyak RM2.5 bilion untuk tahun kewangan 2024.

“Sementara itu, Mah Sing terus mencari tanah untuk mengembangkan lagi perniagaan pembangunan hartanahnya kerana kunci kira-kiranya sihat dengan penggearan bersih rendah sebanyak 0.08 kali pada tahun kewangan 2023,” ujarnya.

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ pada saham Mah Sing dengan harga sasaran (TP) pada RM1.42.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×