PONTIAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ( MOTAC) memperuntukan RM20 juta bagi membina semula jeti masuk ke Taman Negara Johor Pulau Kukup ( TNJPK) di sini, yang tidak selamat untuk digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja penawaran tender kini sedang dilakukan melalui Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ ).
Menurut beliau, kerajaan negeri berharap pembinaan jeti tersebut dapat disiapkan sebelum Tahun Melawat Johor 2026 bagi membolehkan kemudahan tersebut digunakan kepada pelawat yang datang.
Kata beliau, sebagai salah satu ikon terpenting pelancongan di daerah Pontian, TNJPK merupakan pulau hutan paya bakau tidak berpenghuni terbesar di dunia dan dikunjungi ramai pencinta alam sekitar.
“ Bagi membolehkan TNJPK terus dibuka kepada pelawat, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk membina sebuah jeti sementara berhampiran jeti sedia ada,” kata beliau pada sidang akhbar khas sempena pembukaan semula TNJPK yang ditutup pada tahun 2020 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain PKP, penutupannya disebabkan kerja-kerja membaiki kerosakan laluan pejalan kaki sejauh 1.6 kilometer serta kemudahan lain.
Tambah Ah Soon, tiket-tiket boleh didapati di Pejabat Taman Negeri Johor di Kukup Laut serta melalui dalam talian yang sediakan bagi kemudahan orang ramai untuk membelinya nanti.
Beliau juga mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari instutusi pendidikan dimana TNJPK ada menyediakan beberapa modul lawatan seperti mengenal dengan lebih dekat jenis-jenis pokok bakau dan hidupan liar yang ada. – UTUSAN








