JEMPOL: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit nahas dalam kejadian di Kilometer tujuh, Jalan Bahau-Batu Kikir, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.11 pagi itu, wanita berusia 41 tahun itu memandu kereta jenis Proton Iswara yang membawa suaminya berusia 40 tahun serta empat anak mereka berusia dalam lingkungan enam hingga 13 tahun.
Katanya, mereka sekeluarga dari Kajang, Selangor hendak ke Bandar Baru Serting di sini.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta tersebut dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan kemudianya melanggar tunggul pokok yang berada di bahu jalan.
“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu kereta tersebut telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala serta patah kaki kiri,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, suami dan anak-anaknya pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Jempol bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, katanya, polis meminta agar saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Imran Sharwandy Suwandi Yazid di nombor 012-6434489 bagi membantu siasatan.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu kesemua enam sekeluarga yang tersepit dalam kenderaan tersebut.-UTUSAN.










