Langgar lori keluar simpang, tiga pelajar sekolah patah tangan dan kaki

Langgar lori keluar simpang, tiga pelajar sekolah patah tangan dan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tiga pelajar sekolah berusia antara 10 hingga 14 tahun mengalami patah tangan dan kaki selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di simpang Taman Melor, Kuala Sungai Baru di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah memaklumkan, insiden kira-kira pukul 7.15 malam itu berlaku selepas motosikal Yamaha 135LC ditunggang salah seorang mangsa berumur 14 tahun melanggar tayar belakang sebelah kanan lori yang sedang keluar dari simpang.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan penunggang dan dua lagi mangsa yang membonceng motosikal berkenaan mengalami patah tangan dan kaki serta luka pada kepala.

“Hasil siasatan awal kemalangan disyaki berlaku apabila lori terlibat dari simpang Taman Melor telah keluar simpang membelok ke kanan.

“Kemudian datang motosikal dinaiki ketiga-tiga pelajar itu dari Kuala Sungai Baru telah melanggar bahagian tayar belakang sebelah kanan lori.

“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal dan pembonceng yang mengalami kecederaan telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Alor Gajah. Kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya kepada pemberita.

Tambah Ashari, penunggang terlibat tidak mempunyai lesen memandu manakala motosikal yang digunakan pula telah tamat insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) pada Mac 2023.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala pemandu lori berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Terdapat serpihan kemalangan di atas jalan ditemui. Tiada saksi di lokasi yang tampil membantu siasatan namun terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×