KECINTAANNYA terhadap kerjaya di awan biru begitu menebal kerana sepanjang tempoh 40 tahun bekerja, wanita ini kekal setia dengan syarikat yang sama.
Mitsuko Tottori memulakan karier sebagai kru kabin di Japan Airlines (JAL), pada 1985.
Siapa sangka bermula sebagai pramugari, beliau kemudian dinaikkan pangkat dan mengetuai beberapa jabatan sehingga akhirnya melayakkan dirinya mengemudi syarikat ketika menjengah usia 59 tahun.
Pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden JAL menandakan pertama golongan wanita dilantik menjawat jawatan
tertinggi selepas tujuh dekad JAL beroperasi.
Kesetiannya bersama JAL akhirnya terbalas dan kariernya kini benar-benar berada di puncak kejayaan.
Kisah Tottori ini secara tidak langsung memberikan inspirasi buat wanita di seluruh dunia.
STIGMA WANITA
Pelantikan beliau sebagai CEO syarikat berkuatkuasa 1 April lalu, ketika kebimbangan keselamatan berterusan dikaitkan dengan pesawat Boeing dan insiden pelanggaran kapal terbang.
Ia menjadi simbolik bermakna ketika wanita di Jepun kerap berdepan halangan dan stigma dalam perkembangan karier mereka.
Pemilihan wanita itu juga ketika Jepun berusaha memastikan keseimbangan golongan lelaki dan wanita dalam menjawat pangkat tertinggi di
syarikat korporat.
Jepun mengalami prestasi yang buruk dalam beberapa indeks kesetaraan gender global, dengan hanya 12.9 peratus jawatan kepemimpinan kanan di pejabat korporat dipegang oleh wanita pada tahun 2023.
Bahkan di negara matahari terbit itu, kurang satu peratus syarikat utama Jepun diketuai oleh wanita.
KELAYAKAN BERGELAR CEO
Sebelum ini, JAL diketuai oleh 10 bos lelaki dengan majoriti merupakan lepasan dari institusi akademik terkemuka.
Berbeza dengan Tottori yang datang dari latar belakang yang sangat berbeza berbanding pendahulunya.
Wanita ini hanya menamatkan pengajian dari sebuah kolej wanita yang kurang terkenal, Kwassui Women’s Junior College di Nagasaki.
“Saya tidak menganggap diri saya sebagai wanita pertama atau bekas pramugari pertama.
“Saya ingin berkhidmat sebagai individu, jadi saya tidak mengharapkan begitu banyak perhatian.
“Sejak menyertai JAL, saya menghabiskan sebahagian besar kerjaya di bahagian Pramugari, barisan hadapan keselamatan dan perkhidmatan pelanggan.
“Sebagai Ketua Perkhidmatan Pelanggan tahun lalu, saya terus memikirkan nilai yang kami berikan kepada pelanggan kami. Saya ingin terus maju dengan mengutamakan pelanggan,” katanya.
Menerusi temubual bersama CNN, Tottori menyatakan keperluan untuk Jepun menetapkan matlamat yang berani untuk meningkatkan
bilangan pengurus wanita.
“Saya berharap Jepun akan menjadi negara yang membuatkan orang ramai tidak terkejut apabila seorang wanita menjadi presiden,” katanya.
Pelantikan Tottori adalah berdasarkan pengalaman meluas wanita ini dalam keselamatan operasi penerbangan serta sumbangannya semasa pandemik COVID-19.
Beliau juga dilantik selepas kru kabin JAL menerima pujian antarabangsa kerana memindahkan kesemua 379 penumpang di dalam pesawat yang bertembung dengan pesawat pengawal pantai yang lebih kecil, ketika ia mendarat di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, 2 Januari lalu.
Dalam kejadian itu, lima daripada enam orang dalam pesawat pengawal pantai itu maut.










