Melaka tubuh Jawatankuasa Cantasan Pokok

Melaka tubuh Jawatankuasa Cantasan Pokok

POKOK di tepi jalan yang berisiko di Taman Merdeka, Melaka telah ditebang oleh kakitangan MBMB. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Cantasan Pokok untuk menyelaras kerja-kerja memotong dan memangkas dahan pokok tua bagi mengelakkan insiden seperti yang berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur berulang.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, jawatankuasa itu telah diluluskan penubuhannya dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), baru-baru ini.

Menurutnya, ia bukan sahaja melibatkan semua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tetapi juga beberapa agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Melaka sebenarnya lebih awal mula memotong pokok tua dan mencantas dahan yang berisiko ekoran kejadian seorang bayi berusia 17 bulan maut manakala ibunya cedera akibat dihempap pokok ru tumbang dalam kejadian di Pantai Puteri pada 2022.

“Sejak kejadian tersebut kerajaan negeri telah mengarahkan semua PBT melaksanakan kerja-kerja memotong dan mencantas pokok tua yang berisiko.

“Malah saya turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Cantasan Pokok pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini serta membabitkan semua agensi untuk diselaraskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana Sempena Ulang Tahun Ke-21 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Masjid Tun Mohd. Khalil Yaakob, Tanjung Minyak di sini, semalam.

YANG Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Tanjung Minyak pada Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana Sempena Ulang Tahun Ke-21 MBMB di Masjid Tun Mohd. Khalil Yaakob, Tanjung Minyak, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Tambah Rais, jawatankuasa itu akan berperanan untuk jangka mangsa panjang kerana isu pokok tumbang bukan sahaja berlaku di Melaka tetapi seluruh negara.

Menurutnya, walaupun bidang kuasa memotong dan mencantas pokok berisiko di bawah PBT, namun kini ia perlu disertai pelbagai pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×