KINABATANGAN: Komitmen kerajaan Persekutuan bagi membantu kerajaan dan rakyat negeri Sabah agar menikmati pembangunan yang lebih baik diterjemahkan menerusi peruntukan lebih RM1 bilion setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Kelulusan peruntukan RM1.49 bilion di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMKe-12 kepada Sabah pada tahun ini menjadi bukti jelas bahawa kerajaan Persekutuan sangat cakna kepada rakyat Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang tempoh 2021 hingga tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM18.39 bilion bagi pembangunan di Sabah melalui pelbagai agensi di bawah KKDW termasuk agensi kerajaan negeri Sabah seperti Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“Di bawah RP4 RMK-12 pula, daripada RM7.43 bilion peruntukan pembangunan KKDW, sebanyak RM1.49 bilion atau 20 peratus telah diperuntukkan kepada Sabah melibatkan 295 projek.
“Pada tahun ini, KKDW juga telah memperuntukkan sejumlah RM77.35 juta bagi tujuan pembangunan di daerah Kinabatangan untuk pelaksanaan pelbagai projek melibatkan kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa,” katanya semasa Program Sentuhan Kasih Desa KKDW & Keusahawanan Madani di Pasar Tamu Sukau, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara projek utama yang telah dan akan dilaksanakan di Sabah adalah termasuk pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM943 juta dan penyediaan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan kos keseluruhan bernilai RM162.4 juta.
Katanya, KKDW juga telah meluluskan pelaksanaan Program Lonjakan Mega Luar Bandar dengan jumlah peruntukan keseluruhan bernilai RM9 juta bagi meningkatkan kualiti prasarana asas serta mewujudkan peluang pekerjaan melalui peningkatan pendapatan dengan tujuan mengeluarkan penduduk setempat dari garis kemiskinan.
“Kesemua peruntukan yang diluluskan kepada negeri Sabah adalah bukti jelas bahawa kerajaan Persekutuan sangat cakna kepada rakyat Sabah. Kerajaan sentiasa ingin memastikan rakyat Sabah menikmati rahmat kekayaan negara ini serta tidak ketinggalan dalam arus pembangunan kedesaan.
“Komitmen ini akan berterusan selagi wujud kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.
Selain itu, pembangunan penempatan baru dan penyusunan semula kampung sedia ada secara terancang di kawasan Sukau yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan ameniti sosial akan dilaksanakan menerusi Program Bersepadu Pemajuan Kawasan bernilai RM47.6 juta.
Dalam memperkasakan modal insan di negeri ini, kerajaan akan melaksanakan pelbagai program termasuk Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) menerusi peruntukan sejumlah RM18 juta.
Sementara itu, sejumlah RM155.24 juta telah diperuntukan bagi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta latihan kemahiran pekebun kecil untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan luar bandar di negeri Sabah. – UTUSAN











