IPOH: Kegagalan skuad hoki lelaki negara mempertahankan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) perlu ditanggung oleh semua pihak dalam pasukan.
Perkara itu disuarakan oleh pemain pertahanan negara, Muhammad Amirul Hamizan Azahar selepas Malaysia tewas 1-2 kepada Jepun kelmarin, meskipun memiliki deretan peluang namun gagal menterjemahkan dalam bentuk gol.
Bagaimanapun, Amirul menegaskan bahawa ia bukan pengakhiran kepada segala-galanya kerana skuad negara masih mempunyai peluang untuk menamatkan saingan sekurang-kurangnya di kedudukan ketiga.
“Untuk keseluruhan kejohanan ini, selepas empat perlawanan, kita sudah menjaringkan lebih 10 gol, jadi tak boleh salahkan sama ada barisan serangan atau pertahanan.
“Sudah pasti ia adalah kesilapan yang perlu ditanggung satu pasukan. Sebab kalau diikutkan kita banyak melakukan serangan tetapi peluang seperti pukulan sudut penalti tak dapat menghasilkan gol.
“Jepun adalah pasukan sangat berdisiplin dan mempunyai kepantasan, jadi banyak lagi yang perlu kita pelajari dan perbaiki. Ia bukan pengakhiran kerana kita masih ada satu lagi perlawanan dengan Korea Selatan (pusingan round robin terakhir).
“Kita perlu memenangi perlawanan itu dan beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat,” katanya.
Malaysia kini mengutip enam mata selepas menang dua iaitu ke atas Kanada 6-2 dan New Zealand (6-4) dan kalah di tangan Pakistan (5-4) serta Jepun (2-1).
Dalam perkembangan sama, Amirul berkata, skuad negara masih dalam proses pembentukan kepada sebuah pasukan yang mantap dan ia memerlukan masa untuk mendapatkan hasil.
“Kita sekarang sedang dalam proses pelaksanaan. Apa yang kita belajar perlu dilaksanakan di atas padang. Apabila kita gagal laksanakannya, maka kita akan dihukum,” ujarnya. – UTUSAN










