KOTA BHARU: Pasukan Kelantan FA menyasarkan dua kedudukan terbaik sekali gus layak ke saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim depan.
Ketika ini, Kelantan FA beraksi dalam saingan Divisen 2 MPFL yang akan bermula Jun depan.
Pengurusnya Wan Muhammad Firduas Wan Johari berkata, misi tersebut mampu direalisasikan apabila Kelantan FA membawa masuk bekas pemain kebangsaan Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz dan bekas tiga tonggak Terengganu.
“Saya yakin dan percaya dengan adunan ‘ubi muda’ bawah 18 tahun dan pemain senior serta pengalaman mampu membentuk sebuah pasukan mantap musim ini.
“Besar harapan saya supaya Kelantan FA mampu memberikan saingan sambil mengintai peluang masa ke saingan Piala Futsal Malaysia sejurus tamat saingan liga nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Muhammad Firduas memberitahu, Kelantan FA musim ini memilih untuk membuat persiapan awal bagi memastikan pasukan bersedia sebelum sepak mula berlangsung.
Katanya, beberapa aksi persahabatan akan dilangsungkan sebagai medan terbaik menguji percaturan dan keserasian dalam kalangan pemain.
“Musim ini, pasukan kita dilatih oleh Muhamad Fadhil Yusoff, bekas pemain kebangsaan.
“Pengalaman yang dimiliki Muhamad Fadhil sememangnya ditagih bagi memastikan Kelantan FA malu melangkah lebih jauh dalam saingan musim ini,” ujarnya.-UTUSAN








