KAJANG: Sebanyak 49 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian hingga RM6.8 juta berkaitan penipuan penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh empat bulan bermula 1 Januari hingga 30 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pegawai NSRC diminta mengikut segala arahan sehingga mengakibatkan mereka membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.
“Pegawai itu memaklumkan NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan bahawa nombor telefon itu telah digunakan untuk aktiviti penipuan.
“Panggilan itu kemudian disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis sehingga mangsa terpedaya dan mengalami kerugian.
“Sejak 1 Januari hingga 30 April lalu, sebanyak 49 kertas siasatan telah dibuka membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM6.8 juta berkaitan penipuan penyamaran sebagai pegawai NSRC,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, NSRC adalah pusat operasi yang menyelaras tindak balas pantas untuk penipuan kewangan bagi mengesan wang dipindahkan berpunca kes penipuan dalam talian.
“Adalah diingatkan NRSC hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan ia berbentuk komunikasi sehala sahaja.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan yang mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya.
Ramli berkata, bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan ‘online’, pihaknya menggesa mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan lebih tinggi,” ujarnya. – UTUSAN










