ALOR SETAR: Penganjuran acara permotoran, Kedah International Bike Week (KDIBW 2024) pada 6 hingga 8 Disember depan dijangka mampu menarik penyertaan lebih 40,500 peserta dari dalam dan luar negara yang berpotensi menjana aktiviti ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, KDIBW turut menjadi acara pembuka tirai Tahun Melawat Kedah 2025 yang bertujuan merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.
“Acara ini disokong oleh kerajaan negeri sebab kita melihat ia akan memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri Kedah dengan puluhan ribu penunggang dan peminat motosikal berkumpul nanti.
“Sudah tentu ia akan memberi impak yang positif terhadap sektor pelancongan dan inilah masa untuk kerajaan negeri mempromosikan produk-produk pelancongan yang sedia ada dalam negeri Kedah,” katanya selepas majlis pelancaran KDIBW di sini.
KDIBW 2024 yang kali kedua dianjurkan selepas 2019 dijadualkan akan berlangsung di Taman Jubli Emas, Suka Menanti, di sini.
Tambah Mohd. Salleh, kehadiran peserta dalam acara tiga hari tersebut akan meningkatkan permintaan atau tempahan bagi bilik hotel, inap desa, restoran dan destinasi pelancongan di negeri ini.
Menurut beliau, pelbagai program dan aktiviti menarik turut disediakan untuk peserta dan pengunjung, namun penganjur diingatkan untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.
“Acara tersebut juga dilihat dapat menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai mengenai dunia pemotoran selain isu-isu keselamatan dan peraturan lalu lintas.
“Kita ada berbincang dengan penganjur untuk menjadikan KDIBW sebagai acara tahunan yang boleh diadakan pada setiap tahun supaya Kedah menjadi tumpuan penunggang dan peminat dunia pemotoran dari Malaysia dan luar negara,” katanya.
Beliau turut berharap pihak penganjur menggunakan acara tersebut untuk membantu kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025 bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. -UTUSAN










