SEPANG: Bilangan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar dipercayai semakin berkurangan pada setiap hari.
Perkara berkenaan didedahkan Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim pada sidang akhbar di sini.
“Saya difahamkan daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai bahawa jumlah mereka kemungkinan besar tinggal sedikit sahaja selepas ramai sudah pun dibebaskan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyambut kepulangan dua lagi mangsa terbaharu yang diselamatkan MHO di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam tadi.
Mereka yang kedua-duanya berketurunan Tionghua masing-masing adalah seorang lelaki berusia 29 tahun berasal Sarawak dan seorang perempuan berumur 25 tahun dari Perak.
Mengulas lanjut, Hishamuddin mendakwa baki yang masih berada di Myanmar dipercayai memang sengaja memilih untuk tinggal di negara itu malah enggan pulang ke Malaysia.
“Kami diberitahu daripada wakil MHO sendiri di sana bahawa mereka ini memang dari kalangan penjenayah tegar yang amat dikehendaki oleh polis di negara kita,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau tidak menolak andaian berhubung usaha agresif MHO yang aktif menyelamatkan mangsa menjadi faktor banyak sindiket membebaskan rakyat Malaysia.
Ketua kumpulan penjenayah pemerdagangan itu di Myanmar dipercayai semakin serik dengan tindakan agresif MHO dan mengambil pendekatan lebih lembut kebelakangan ini.
Hishamuddin walau bagaimanapun tidak mendedahkan berapakah angka terkini mangsa yang masih tinggal di sana tetapi optimis jumlah mereka tidak seramai tiga tahun lepas.
“Ada diselamatkan kerana kebetulan ada konflik perang di Myanmar dengan pemberontak dan kami percaya sindiket terpaksa berpindah ke Laos, Kemboja atau Vietnam.” katanya.










