Pelajar tahfiz dikenali 'Geng Abyan' ditahan curi motosikal - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz dikenali ‘Geng Abyan’ ditahan curi motosikal

SAYED Mohd. Faizal Sayed Baharom (kanan) memeriksa motosikal yang dipercayai dicuri 'Geng Abyan' di IPD Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Padah mencuri motosikal untuk bersiar-siar dan berseronok, enam pelajar tahfiz termasuk seorang pelajar sekolah menengah harian yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal di bandar ini
ditahan polis, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kemaman, Sayed Mohd. Faizal Sayed Baharom berkata, remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun yang dikenali sebagai ‘Geng Abyan’ itu ditahan berasingan kira-kira pukul 4 pagi.

“Kesemua remaja itu ditahan selepas pihak polis berjaya menahan dua buah motosikal yang dinaiki dua suspek di Kampung Binjai, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, motosikal dinaiki suspek itu adalah motosikal yang telah dilaporkan hilang pada April dan Mei lalu dan susulan penahanan suspek, kita berjaya menahan empat lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

Sayed Mohd. Faizal berkata, hasil siasatan awal mendapati, kumpulan remaja itu menjalankan aktiviti mencuri motosikal yang tidak berkunci di beberapa kampung sekitar bandar ini sejak Februari lalu.

“Mereka menyasarkan motosikal yang kuncinya ditinggalkan pada motosikal dan siasatan awal mendapati mereka menggunakan motosikal tersebut hanya untuk bersiar-siar dan kemudiannya mereka akan meninggalkan motosikal itu di tepi jalan di lokasi berlainan.

“Hasil penahanan keenam-enam suspek ini, kita percaya dapat menyelesaikan enam kes kecurian motosikal yang dilaporkan sejak Februari lalu,” katanya.

Sayed Mohd. Faizal berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×