Pembaharuan cukai jalan adalah perkhidmatan pilihan - BJAK

Pembaharuan cukai jalan adalah perkhidmatan pilihan – BJAK

BJAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BJAK Sdn. Bhd. (BJAK), penyedia perbandingan insurans dalam talian mengesahkan bahawa pembaharuan cukai jalan adalah perkhidmatan pilihan yang disediakan bagi pelanggannya.

Syarikat tersebut memaklumkan, perniagaannya beroperasi seperti biasa selain menegaskan perkhidmatan utamanya adalah perbandingan dan pembaharuan insurans kenderaan bermotor serta perkhidmatan VIP yang khas untuk pelanggannya. 

Katanya, ia disediakan secara perkhidmatan pilihan dan percuma berbanding platform lain yang biasanya mengenakan bayaran antara RM3 hingga RM11 untuk pembaharuan itu.

“Kami menyediakan perkhidmatan pilihan ini secara percuma kepada pelanggan dengan menanggung sebarang caj kepada pembekal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Perkhidmatan pembaharuan cukai jalan BJAK kini ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang caj, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjadikan pembaharuan lebih mudah dan berkesan dari segi kos bagi pelanggannya,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam pada itu, BJAK mengakui isu-isu yang dibangkitkan oleh JPJ dan sedang aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu meningkatkan pengalaman bagi semua pemilik kenderaan di Malaysia.

“Perlu diperhatikan bahawa kempen cukai jalan percuma BJAK adalah sebahagian daripada inisiatif swasta yang bertujuan untuk meningkatkan nilai pelanggan dan tidak berkaitan dengan sebarang mandat kerajaan. 

“BJAK tetap komited untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan perkhidmatan yang luar biasa sambil mengekalkan standard pematuhan yang tertinggi,” katanya. 

Terdahulu media melaporkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu pun JPJ tidak pernah memberi kelulusan kepada BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius kandungan iklan yang dikeluarkan melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada awam, termasuk program pemberian cukai jalan secara percuma.

Jelas JPJ, kenyataan BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu ‘Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ’ adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

Menurut JPJ, pengoperasian yang dilakukan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran jabatan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×