PETALING JAYA: Skuad ragbi lelaki tujuh sebelah (7s) negara meraih tonik terbaik menjelang persiapan untuk menghadapi Kejohanan Siri Asia 7s pada September dan November nanti apabila muncul juara pada SEA 7s di Singapura, kelmarin.
Pada aksi SEA 7s atau dikenali sebagai Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara itu, skuad kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man mempamerkan persembahan cukup baik apabila menewaskan pasukan tuan rumah, Singapura A 140-10 dalam aksi final.
Kemenangan berkenaan sekali gus mengubati kekecewaan skuad Bunga Raya apabila mereka pada edisi sebelum ini di Thailand sekadar muncul naib juara selepas tumbang di tangan Taiwan.
Nik Safuan berkata, gelaran yang diraih di Singapura itu adalah langkah positif pasukannya tahun ini, sekali gus tekad membawa momentum cemerlang menjelang perlawanan di Korea pada 7 September nanti.
“Apa yang boleh saya katakan ialah, faktor kemenangan hari ini ialah daripada usaha memberangsangkan para pemain, mereka cukup bersemangat dan amat mengejutkan saya.
“Biarpun dalam keadaan persediaan agak singkat mereka mampu menunjukkan prestasi luar biasa dan mampu berhadapan dengan lawan yang mempunyai persiapan lebih rapi.
“Fokus selepas ini adalah persediaan menghadapi Kejohanan Siri Asia 7s pada September dan November akan datang dan menantikan status penganjuran acara ragbi 7s di Sukan SEA 2025 untuk membuat perancangan seterusnya,” kata Nik Safuan.
Pada edisi lalu, Nik Safuan telah berjaya membawa pasukan buat kali pertama menaiki podium apabila menamatkan saingan tempat ketiga di siri Ragbi Asia 2023 yang berlangsung di Thailand. – UTUSAN










