2 gadis Korea bijak ‘intai’ peluang - Utusan Malaysia

2 gadis Korea bijak ‘intai’ peluang

Duo ini akan menghasilkan drama romantik komedi Melayu di salah sebuah televisyen swasta dan menerbitkan program untuk platform penstriman dan kandungan Youtube.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua wanita ini saya kenali di media sosial mereka. Namun dalam pertemuan dengannya sewaktu berkunjung ke Korea atas undangan gergasi teknologi Korea iaitu LG baru-baru ini, mendorong saya merakam mereka berdua sebagai muka depan Seri.

Dalam sesi temubual baru-baru ini Dasol anggun mengenakan suit biru manakala Jade tampil ringkas dengan skirt hitam dipadankan dengan jaket.

Wanita ini cukup memberi inspirasi dalam kalangan anak muda yang mahu bergelar pempengaruh media sosial, lebih-lebih lagi jika mahu bergelar pempengaruh bertaraf antarabangsa.

Kesungguhan sahabat baik ini menempuh enam jam perjalanan dari Korea Selatan ke Malaysia hampir setiap bulan sejak enam tahun lalu, nyata membuahkan hasil apabila baru-baru ini diberi kepercayaan menerbitkan program di televisyen dan platform penstriman.

Malah duo wanita dengan jenama Blimey ini bakal menghasilkan drama romantik komedi Melayu di salah sebuah televisyen swasta di negara ini.

Malaysia memberi ruang untuk mereka menggapai impian dan cita-cita sebagai penerbit dan pengarah.

Memulakan bicara, kata Dasol, biarpun kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mampu memahaminya.

“Kami belajar bahasa Melayu daripada rakan-rakan dan pengikut dari Malaysia.

“Walaupun kami bercakap macam budak umur tiga tahun tetapi kami cuba mempelajarinya dengan lebih baik,” katanya.

Menjadikan Malaysia bagaikan rumah kedua buat mereka, tanah ini jugalah yang memberi ruang untuk mereka menggapai impian dan cita-cita sebagai penerbit dan pengarah.

Dengan hanya bermula sebagai pencipta kandungan yang meneroka budaya di Malaysia, Blimey kini diberi kepercayaan menerbitkan beberapa program bersama selebriti tempatan dan bakal mengarahkan dan menerbitkan drama TV tidak lama lagi.

Mi segera & snek
Bagaimana pertama kali mencuba makanan Malaysia, tanya saya lantaran teruja untuk mengetahui bagaimana orang luar boleh melihat Malaysia, lubuk kerjaya dalam dunia di hujung jari ini?.

Serentak gadis manis ini tergelak kerana mereka tidak menyangka makanan tempatan ‘kena’ dengan selera mereka.

Malah kata Dasol, nasi lemak dan nasi kandar merupakan menu paling digemari dan menjadi igauan setiap kali pulang ke Korea.

“Setiap kali ke sini pasti kami akan makan sepuas-puasnya. Makanan di sini sangat pelbagai kerana ada berbilang bangsa.

“Setiap kali balik ke Korea kami akan teringat makanan kesukaan kami di sini antaranya Char Kuetiau, Nasi Lemak dan Nasi Kandar,” katanya.

Mengimbas kembali kenangan saat mula mereka ‘bertemu’ dengan Malaysia, kata Dasol segala-galanya bermula dengan hanya secawan mi segera dan kudapan.

Snek-snek itu dibawa pulang oleh seorang lagi rakan mereka yang datang bercuti ke Kota Kinabalu (KK), Sabah.

“KK lokasi kegemaran orang Korea kerana keindahannya. Ketika itu rakan kami bercuti ke sana dan dia bawa pulang snek-snek itu sebagai buah tangan kami.

“Ketika mencuba snek-snek itu kami suka-suka sahaja membuat video reaksi di saluran Youtube kami kerana pertama kali mencubanya.

“Tidak sangka pula ramai pengikut dari Malaysia yang menerima baik video itu dan mencadangkan kami untuk mencuba pelbagai jenis makanan lagi dan dari situ bermula kisah kami sebagai pencipta kandungan dari Korea yang meneroka budaya dan makanan di Malaysia,” katanya.

Dengan pengikut lebih 88,000 di Instagram dan Youtube, duo wanita asal Seoul, Korea ini bukan sahaja meneroka Malaysia malah, mereka turut memperkenalkan budaya dan keunikan negara ini kepada pengikut mereka di tanah air.

Memandangkan kedudukan geografi yang agak jauh antara dua negara ini, maka budaya dan makanan agak asing bagi rakyat masing-masing.

“Enam jam perjalanan adalah satu tempoh masa yang panjang. Berbanding China, Jepun dan Vietnam, Malaysia bukanlah pilihan utama rakyat Korea yang mahukan percutian ringkas kerana jarak yang jauh.

“Jadi, budaya dan makanan di sini masih lagi asing kepada kebanyakan orang Korea, jadi kami menjadi jambatan yang memperkenalkan budaya itu kepada mereka dan mereka juga banyak belajar daripada kandungan-kandungan yang kami hasilkan,” kata gadis tinggi lampai ini.

Konten menghiburkan
Menelusuri saluran Youtube dua anak muda ini, boleh dikatakan kandungan-kandungan dihasilkan amat menarik.

Seronok melihat mereka mencuba pelbagai jenis makanan tempatan dan keletah mereka cuba berpuasa apabila tibanya bulan Ramadan dan banyak lagi.

Maka tidak hairanlah konten mereka mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengikutnya di negara ini.

Kata Jade, mereka suka suasana di Malaysia kerana penduduknya mesra dan ramah.

“Sambutan baik terhadap kandungan kami hasilkan memberikan kami motivasi untuk melakukan lebih lagi,” kata Jade.

Antara video mendapat tontonan tinggi ialah Korean Idol Tried Laksa for the first time? yang meraih sehingga 1.3 juta tontonan.

Mereka turut melihat banyak lagi perkara yang boleh dilakukan dalam mencapai cita-cita mereka sebagai penerbit dan pengarah.

Berbekalkan kesungguhan dan sokongan daripada keluarga dan pengikut mereka mahu melebarkan sayap dalam bidang yang diceburi ini.

Personaliti mereka yang comel dan menghiburkan turut menjadi faktor mereka disenangi pengikut di negara ini.

Melalui pertemuan kami pada pagi itu, boleh dikatakan kami tidak kering gusi saat berbicara.

Selain ramah, mereka turut teruja menceritakan pengalaman meneroka pelbagai perkara baharu di negara ini.

Penampilan ringkas dilengkapi paras wajah menarik juga menjadikan mereka disukai pengikut dari pelbagai peringkat usia.

Sokongan keluarga
Menyentuh mengenai keluarga, kata mereka, kejayaan dicapai merupakan hasil daripada sokongan padu keluarga.

Walaupun pada awalnya, keluarga kedua-dua mereka seakan meragui dengan kerjaya yang diceburi.

Apatah lagi ketika itu tahun 2018, kerjaya media baharu sebagai pencipta kandungan dan pempengaruh bukanlah sesuatu yang menjanjikan.

“Ibu bapa kami generasi lama jadi mereka agak ragu-ragu dengan keputusan kami yang mahu menceburkan diri secara sepenuh masa sebagai pencipta kandungan.

“Malah, kami juga berulang-alik ke Malaysia sejak itu, maka mereka sedikit risau dan bimbang.

“Tetapi, melihatkan kepada apa yang kami capai pada hari ini, mereka sudah boleh menerima dengan lebih baik. Malah, ibu saya juga antara penyokong kuat Blimey. Ibu tonton semua video dan tinggalkan komen ketika kami bersiaran langsung dan sebagainya,” kata Jade.

Bagi Dasol pula, sokongan suami menjadikan beliau semakin bersemangat untuk menaikkan jenama Blimey ke peringkat lebih baik.

Mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hati, juga asal Korea pada 2022 lalu, Dasol berkata suami tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan kerjaya yang dibina bersama rakan baiknya itu.

Sebaliknya tuga turut muncul dalam kandungan Youtube dihasilkan sekaligus menunjukkan sokongannya terhadap isteri tersayang.

“Keizinan suami membolehkan saya untuk berulang-alik antara dua negara ini.

“Selain keluarga, suami adalah penyokong kuat saya pada ketika ini untuk mencapai cita-cita dalam bidang diminati,” jelasnya.

Duo ini berpandangan, menjejaki apa yang mereka lakukan itu, individu berkenaan perlulah mempunyai keazaman dan keyakinan diri yang tinggi kerana kerjaya sebagai pempengaruh atau pencipta kandungan bukan sesuatu yang mudah.

Ia tidak menjanjikan kelangsungan seperti kerjaya tradisional, apatah lagi sekiranya mahu mengembangkan kerjaya itu di bumi asing.

“Daripada segi pendapatan, memang ia menghasilkan pendapatan untuk kami pada ketika ini dan inilah kerja kami sepenuh masa.

“Kerja ini tidak mudah. Tiap hari kena rancang konten dan jika berkaitan penerbitan rancangan ia akan lebih rumit tetapi kami gembira kerana ini minat kami,” kata Jade.

Realitinya tidak sukar pempengaruh media sosial luar berkelana di negara ini kerana rakyat kita sentiasa terbuka menerima reaksi dan pandangan orang luar terhadap negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×