PAGOH: Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sanggup berdepan UMNO sekiranya parti itu bertekad mahu membolot semua kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN sedia meletakkan calon di semua kawasan jika UMNO berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi.
Menurut Pengerusi PN itu, pihaknya tiada halangan jika UMNO memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
“Bukan tidak penting kerusi, kalau tak cukup kerusi tidak boleh tubuh kerajaan. Kalau dia (UMNO) nak, ambillah 222 kerusi. Jika menang semua, boleh bentuk kerajaan.
“Kalau UMNO mahu ambil semua, saya pun nak ambil semua. Satu lawan satu, satu lawan dua, satu lawan tiga pun boleh, kerana ini politik.
“Oleh itu, saya tidak mahu menyombong diri kerana bersikap angkuh nanti rakyat marah, saya faham kenyataan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya pun ada dekat situ dahulu. Saya tak mahu ada pertembungan politik yang akhirnya mengalih pandangan daripada soal pokok,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1 di sini semalam.
Semasa berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan antara lain berkata, UMNO mesti memimpin segala bentuk perkongsian kuasa atau kerjasama politik.
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, ahli politik perlu mendahulukan kepentingan rakyat khususnya ketika mereka sedang berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 dengan membincangkan soal ekonomi dan kesejahteraan.
Beliau memberitahu, keputusan UMNO untuk bekerjasama atau tidak dengan mana-mana parti politik pada PRU-15 adalah hak dan pilihan parti itu sendiri.
Kata Muhyiddin, Bersatu di bawah PN telah menjalinkan kerjasama baik dengan semua parti demi kepentingan rakyat.
“Itu pandangan UMNO, kalau buat keputusan begitu, itu hak mereka. Kalau mereka cakap tidak mahu bekerjasama dengan kita pun, pilihan mereka. Kalau nak bekerjasama dengan kita pun, itu hak mereka.
“Bersatu sejak dulu telah menjalinkan kerjasama baik dengan semua parti sehingga akhirnya terbentuk kerajaan seperti yang kita lihat hari ini.
“Yang penting bagaimana kita menghadapi masa hadapan. Apa yang penting ketika ini adalah isu pokok yang sedang dihadapi negara antaranya Covid-19, vaksinasi bagi memastikan rakyat serta isu ekonomi,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, pihaknya lebih mengutamakan soal kesejahteraan rakyat berbanding membahaskan soal politik.
“Bukan tak boleh berpolitik, bukan saya tidak boleh berbahas, sebahagian besar kehidupan saya dalam politik. Saya boleh berbahas dengan siapa sahaja tetapi itu saya elakkan kerana rakyat marah saya. Inipun jawab ini, ada yang marah nanti. Bukan saya takut,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA











