HULU SELANGOR: Kerajaan Perpaduan perlu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu supaya kawasan itu dapat menjadi ‘jambatan’ yang membina hubungan dengan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Ini kerana, tiga wakil rakyat di sana iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Hulu Bernam dan Parlimen Hulu Selangor itu sendiri kini diwakili oleh pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Kuala Kubu Bharu berpotensi terabai dan tidak diberikan tumpuan jika keseluruhan kawasan Parlimen dan DUN dikuasai oleh pembangkang.
Menurutnya, selepas beberapa kali turun berkempen di sana, beliau menerima banyak permohonan untuk baik pulih dan naik taraf jalan raya, pembinaan dewan, bumbung sekolah dan pemasangan penghawa dingin di masjid melibatkan perbelanjaan puluhan juta ringgit.
“Dalam fikiran mereka perlu diletakkan bahawa Kuala Kubu Bharu mesti dijadikan jambatan hubungan pusat dan negeri, maka wakil kerajaan hendaklah dimenangkan supaya wakil pusat dan negeri boleh berada di sini. Supaya wakil rakyatnya boleh mengatur pimpinan pusat untuk berada di sini, membawa peruntukan ke sini.
“Bayangkan kalau ADUN pembangkang, apakebenda? Hendak beri surat dekat mana? Hendak suruh mereka tulis surat hantar kepada menteri? Mana ada menteri hendak bertemu dengan pembangkang dan menunaikan hasratnya,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambahnya, cukup memadai tiga pembangkang dalam Parlimen Hulu Selangor supaya peruntukan dan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri dapat disalurkan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan Perikatan Nasional (PN) bersikap tidak adil terhadap kaum di situ apabila meletakkan calon lelaki Melayu di kawasan yang mempunyai pecahan ras seimbang.
Katanya, pecahan pengundi di DUN Kuala Kubu Bharu terdiri daripada 51 peratus (Melayu dan Bumiputera termasuk Orang Asli), 31 peratus (Cina) dan 18 peratus (India).
“Satu lagi fakta penting, PN langsung tidak mengiktiraf suara 49 peratus, dia hendak bolot empat-empat (kawasan) pada calon Melayu. Hulu Bernam, Batang Kali dan Hulu Selangor semua lelaki dan Melayu. Ini pun letak lagi lelaki Melayu.
“Walhal kawasan 51:49, mana adil Islam yang perlu ditunjukkan oleh parti yang bernama Islam. Tak adil, mana boleh begitu, kalau tidak empat kawasan, berilah satu kepada Cina atau India,” ujarnya.
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan selepas penyandangnya Lee Kee Heong meninggal dunia pada 21 Mac lalu. Pertembungan empat penjuru di sana menyaksikan dua parti gergasi PN dan PH masing-masing diwakili Khairul Azhari Saut dan Pang Sock Tao berentap pada 11 Mei ini. – UTUSAN










