ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyifatkan perlawanan pertama mereka melibatkan video bantuan pengadil (VAR) pada aksi pra musim menentang Kedah memberi pengajaran berguna kepada pasukan.
Menurutnya, layangan kad merah kepada Adib Raop pada minit ke-34 serta penalti diperolehi tuan rumah pada minit ke-50 yang kedua-duanya dianugerahkan pengadil selepas merujuk VAR perlu dijadikan panduan oleh pemain supaya lebih berhati-hati.
Tegasnya, para pemain diharap tidak melakukan kesilapan sama apabila Liga Super bermula tidak lama lagi bagi mengelakkan pasukan itu daripada mengalami kerugian akibat keciciran mata.
“Ini kali pertama kami beraksi dalam perlawanan yang melibatkan penggunaan VAR dan saya mahu pemain cepat belajar. Kita tahu apabila sistem ini digunakan, sebarang kesilapan boleh menghadirkan hukuman yang merugikan pasukan dan kita perlu hormat dengan setiap keputusan pengadil.
“Selalu kita lihat penggunaan VAR dalam perlawanan lain di televisyen tetapi hari ini, kami berpeluang merasainya. Memang saya akui, ini pengajaran terbaik buat pemain untuk tidak melakukan kesalahan dalam kotak penalti atau sengaja melakukan terjahan tidak sepatutnya,” katanya.
Dalam insiden melibatkan Adib, pengadil perlawanan, Muhammad Munir Mohd. Izam terlebih dulu melayangkan kad kuning sebelum membuat keputusan untuk merujuk VAR. Dia kemudian memberi kad merah kepada Adib setelah pemain itu didapati melakukan kesalahan lebih serius.
Pada minit ke-50 pula, keputusan pengadil meneruskan perlawanan dikaji semula menerusi paparan VAR yang membolehkan Muhammad Munir mengesan kekasaran dilakukan Rafael Vitor terhadap Fadzrul Danel, sekali gus membolehkan Kedah menambah jaringan menerusi sepakan penalti Milos Gordic.
Mengulas persiapan pasukan, Akmal gembira dengan komitmen ditunjukkan pemain yang jelas berusaha merebut tempat untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Dalam perlawanan ini pun dapat dilihat bagaimana kita mencipta peluang sebelum terpaksa bermain dengan 10 orang. Bagi saya kita bermain dengan baik dan para pemain sama ada tempatan mahupun import telah menunjukkan kualiti yang ada pada mereka.
“Boleh dikatakan segala yang dirancang memang menjadi terutamanya sewaktu kita beraksi dengan 11 pemain. Dalam masa sama kita menantikan aksi pemain import baharu dari Brazil, Neto Oliveira yang baru tiba, dia diyakini mampu menambah kekuatan untuk membantu penyerang menjaringkan gol,” katanya. -UTUSAN











