HULU SELANGOR: Pengundi berharap kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu diadakan secara matang dengan tidak membawa isu peribadi dan perkauman ke dalam kawasan tersebut.
Peniaga, Chong Choon Hing, 60, berkata, calon-calon PRK Kuala Kubu Baharu perlu memberi fokus kepada isu-isu yang dihadapi rakyat setempat dan tidak secara berterusan membangkitkan isu peribadi serta perkauman.
Katanya, pengundi mahukan seorang wakil rakyat yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.
“Di sini jangan bawa isu perkauman dan peribadi, bawa jauh ke sana. Berkempen menggunakan dua isu itu tidak betul, saya sebagai pengundi di sini memang tidak suka dengan cara tersebut.
“Kita sebagai satu masyarakat di dalam negara ini perlu memberi fokus kepada isu pembangunan dan ekonomi kalau tidak kita tidak akan menjadi lebih maju,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Kubu Baharu, di sini.
PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertembungan a empat penjuru antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
Pilihan raya itu diadakan selepas penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong meninggal dunia pada Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.
Dalam pada itu, peniaga jalanan, Thiruselvam Ayasamy mengakui isu latar belakang calon menjadi topik perdebatan dalam kalangan pengundi di Kuala Kubu Baharu.
“Isu itu juga banyak penduduk di Kuala Kubu Baharu sedang bercakap, kalau memang orang sini tidak mengapa tetapi orang luar.
“Tetapi apa pun sekiranya boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di sini, kita sokong sahaja, kita beri peluang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Syahril Azri Syarif, 30, pula berharap bakal wakil rakyat yang akan menggantikan Kee Hiong kelak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan memberi fokus kepada pembangunan kawasan tersebut. – UTUSAN










