NEW YORK: McDonald’s melaporkan peningkatan yang sederhana dalam keuntungan suku tahunannya, susulan boikot dilancarkan berikutan konflik di Asia Barat.
Menurut laporan Reuters, syarikat gagal mencapai unjuran keuntungan suku tahunan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun berikutan konflik Asia Barat menjejaskan jualan antarabangsa rangkaian burger itu.
Pertumbuhan jualan setanding global merosot untuk suku keempat berturut-turut kepada 1.9 peratus, dengan syarikat itu berkata pengguna berubah ‘lebih diskriminasi dengan setiap dolar yang mereka belanjakan’.
Ketua Eksekutifnya, Chris Kempczinski berkata, pengguna pastinya sangat menitikberatkan cara membelanjakan wang mereka.
“Kami telah melihat bahawa keunggulan relatif kami pada kemampuan telah merosot dalam beberapa pasaran,” katanya.
Jualan cawangan fizikal suku pertama McDonald’s meningkat 2.5 peratus di Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada pertumbuhan 12.6 peratus tahun lalu dan sedikit di bawah anggaran pertumbuhan 2.55 peratus.
Jualan daripada pemegang lesen antarabangsa syarikat, yang membentuk 10 peratus daripada hasil keseluruhannya pada 2023, merosot 0.2 peratus, mengimbangi trend positif dari Jepun, Amerika Latin dan Eropah.
Dalam laporan berasingan, Starbucks mengurangkan unjuran jualan tahunan selepas mencatatkan penurunan jualan dalam cawangan buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga tahun, selepas bergelut dengan permintaan lemah di dua pasaran terbesarnya iaitu AS dan China.
Saham syarikat itu merosot 12 peratus pada Selasa dalam dagangan yang dilanjutkan selepas rantaian kopi itu mencatatkan keuntungan suku tahunan di bawah anggaran, selain terjejas dengan kesan daripada ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Starbucks menjangkakan pertumbuhan jualan di peringkat global dan AS berada dalam julat penurunan satu angka yang rendah kepada mendatar untuk setahun penuh, turun daripada julat pertumbuhan sebelumnya 4.0 peratus hingga 6.0 peratus.
Ketua Pegawai Kewangannya, Rachel Ruggeri berkata, suku kedua adalah ‘mencabar’.
“Ketidaktentuan berterusan sepanjang suku tahun membawa kepada rombakan dan rancangan tindak balas untuk memulihkan perniagaan,” katanya.-REUTERS










