Starbucks kurangkan unjuran jualan susulan permintaan lemah

Starbucks kurangkan unjuran jualan susulan permintaan lemah

SUASANA Starbucks lengang berikutan kempen boikot produk berkaitan Israel, susulan peperangan dan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin sejak kebelakangan ini.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Starbucks mengurangkan unjuran jualan tahunan selepas mencatatkan penurunan jualan dalam cawangan buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga tahun, selepas bergelut dengan permintaan lemah di dua pasaran terbesarnya iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Saham syarikat itu merosot 12 peratus pada Selasa dalam dagangan yang dilanjutkan selepas rantaian kopi itu mencatatkan keuntungan suku tahunan di bawah anggaran, selain terjejas dengan kesan daripada ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Starbucks menjangkakan pertumbuhan jualan di peringkat global dan AS berada dalam julat penurunan satu angka yang rendah kepada mendatar untuk setahun penuh, turun daripada julat pertumbuhan sebelumnya 4.0 peratus hingga 6.0 peratus.

Ketua Pegawai Kewangannya, Rachel Ruggeri berkata, suku kedua adalah ‘mencabar’.

“Ketidaktentuan berterusan sepanjang suku tahun membawa kepada rombakan dan rancangan tindak balas untuk memulihkan perniagaan,” katanya.

Jenama Barat seperti Starbucks dan McDonald’s juga merasakan kesan kempen boikot di Asia Barat dan beberapa negara lain berhubung serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza.

Di AS, Starbucks berdepan permintaan yang semakin berkurangan kerana cuaca sejuk pada Januari dan persekitaran makro tidak menentu yang menjejaskan jualan minumannya yang lebih mahal.

Menurut data London Stock Exchange Group (LSEG), jualan global suku kedua rantaian kopi itu turun 4.0 peratus, berbanding kenaikan 1.44 peratus yang dianggarkan oleh penganalisis.

Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks, Laxman Narasimhan berkata, pihaknya masih melihat kesan pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan dan syarikat melihat persaingan sengit di kalangan peserta dalam pasaran.

Jualan di peringkat global jatuh 11 peratus di China dan 3.0 peratus di AS.

Margin operasi pada suku yang dilaporkan jatuh 240 mata asas kepada 12.8 peratus apabila Starbucks bergelut dengan pasaran buruh yang sukar dan peningkatan tindak balas kesatuan sekerja, selain ia meningkatkan pelaburan dalam promosi untuk meningkatkan permintaan.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×